APHB-Chase Perdana jalin usaha sama pelaburan hartanah RM4.3 bilion | DagangNews Skip to main content

APHB-Chase Perdana jalin usaha sama pelaburan hartanah RM4.3 bilion

(Dari kiri) Pengarah AP Holding Berhad, Datuk Mustafha Abd Razak dan Datuk Helmi Ilyas; Pengerusi Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB), Datuk ’Ilyas Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Chase Perdana, Sathappan Ganeson dan Pengarah Academic Medical Center, Yogeshwary S.

(Dari kiri) Pengarah AP Holding Berhad, Datuk Mustafha Abd Razak dan Datuk Helmi Ilyas; Pengerusi Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB), Datuk ’Ilyas Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Chase Perdana, Sathappan Ganeson dan Pengarah Academic Medical Center, Yogeshwary S.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Syarikat di bawah kumpulan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB), AP Holding Berhad (APHB) menjalinkan perjanjian usaha sama pelaburan dengan rakan perniagaan terkemuka Chase Perdana Sdn. Bhd. (Chase Perdana) melalui anak syarikat, Academic Medical Centre Sdn Bhd (AMC).

 

Pengerusi KAPB, Datuk Ilyas Mohamed berkata, usaha sama tersebut memperuntukkan dana berjumlah RM4.3 bilion untuk projek pembangunan hartanah.

 

Katanya, projek-projek pembangunan hartanah tersebut termasuklah pembangunan campuran dengan keluasan 25 ekar di Kota Kinabalu dan pembangunan sebuah hospital dan Universiti Perdana dengan keluasan 141 ekar di Serdang.

 

"AMC akan memanfaatkan jenama-jenama terkemuka melalui rakan usahasama kami dari Amerika Syarikat untuk memenuhi pasaran pusat penjagaan kesihatan swasta yang menitikberatkan taraf piawaian emas kepada keperluan pusat penjagaan kesihatan swasta di Malaysia terutamanya di rantau Asia Tenggara.

 

"Ia akan menyediakan suatu nilai penawaran unik kepada industri penjagaan kesihatan.

 

"Langkah pelaburan strategik oleh kumpulan KAPB ini adalah bukti berdaya saing mereka di dalam meraih peluang-peluang yang ada terutamanya di dalam era ekonomi yang perlahan akibat COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ilyas Mohamed
Ilyas Mohamed.

 

Menariknya, detik bersejarah perjanjian tersebut dijalankan di Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX) dan disiarkan secara langsung oleh Awesome TV. 

 

Mengulas lanjut, Ilyas turut menggesa kerajaan Malaysia menggalakkan dan membantu memberikan insentif kepada pelaburan seperti itu agar menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat dan ekonomi negara. 

 

Ujarnya, usaha sama pelaburan itu akan menjadi satu aset penarik dan penjana pendapatan bagi beberapa pelaburan sedia ada di KAPB termasuklah APHB (pelaburan), Hartanah AP Rakyat (hartanah), H Group Marine (gaya hidup marin), Jet Valet (penerbangan), Awesome TV (penyiaran), MFI Group (perkhidmatan kewangan dan otomotif), Quick Ride (e-hailing), CTG Capital (pembiayaan automotif) dan MFI Capital (tenaga boleh diperbaharui).

 

"Dengan pelaburan strategik ini, ditambah lagi dengan prinsip pengurusan yang baik, ketelusan, kebebasan dan integriti, KAPB telah menempatkan dirinya sebagai satu pusat pelaburan yang terkemuka," katanya. - DagangNews.com