Aplikasi i-MANS bantu TH Properties tingkatkan pendapatan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti | DagangNews Skip to main content

Aplikasi i-MANS bantu TH Properties tingkatkan pendapatan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti

Azman Ibrahim bersama Pengerusi, TH Properties Sdn. Bhd., Datin Paduka Kartini Abdul Manaf ketika sesi melawat kiosk semasa Majlis Pelancaran Aplikasi i-MANS, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Langkah pendigitalan TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) dengan memperkenalkan aplikasi i-MANS, dijangka akan membantu meningkatkan pendapatan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti (FM) pada masa akan datang.

 

i-MANS merupakan Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Bersepadu iaitu penyelesaian pintar berasaskan awan yang berupaya mengurus operasi dan kerja penyelenggaraan secara menyeluruh serta meningkatkan kecekapan operasi kemudahan yang ditawarkan oleh cabang FM merangkumi TH Universal Builders Sdn. Bhd. (THUB), THP Services Sdn. Bhd. (THPS) dan THP Utara Facilities Sdn. Bhd. (THPUF).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Azman Ibrahim berkata, lebih 50 tapak dan 12 juta kaki persegi ruang bangunan di seluruh negara yang diuruskan oleh segmen perniagaan Kumpulan FM, i-MANS membolehkan penyelarasan dan keupayaan pengesanan yang lebih baik antara pengendali, pelanggan dan vendor.

 

“TH Prop sentiasa menambah nilai produk kami, sama ada dalam bentuk fizikal seperti hartanah, atau kualiti dan tahap perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan. 

 

"Kini dengan i-MANS yang mesra pengguna, kami mempunyai alat yang mudah untuk menentukan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan dengan tepat, menyimpan rekod penghantaran dengan daftar masuk berasaskan lokasi serta meminimumkan perbelanjaan yang tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat lebih 1,000 pengguna yang akan mendapat manfaat daripada i-MANS, yang terdiri dari lebih seratus latar belakang teknikal dan pengurusan yang pelbagai. 

 

Katanya, aplikasi itu pertama kali dibangunkan dan diterima pakai pada 2018, dan telah melalui banyak penambahbaikan bagi meningkatkan fungsi serta kemudahan penggunaan.


"Kami mempunyai jenama yang kukuh dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti, danpelancaran aplikasi ini merupakan langkah bermakna untuk meningkatkan kedudukan kami dalam industri," katanya.

 

TH Prop ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, dengan tiga perniagaan teras dalam pembangunan hartanah, pengurusan fasiliti serta pembinaan dan pengurusan projek. - DagangNews.com