Aplikasi KitaJaga guna NFT untuk promosi aktiviti amal P2P | DagangNews Skip to main content

Aplikasi KitaJaga guna NFT untuk promosi aktiviti amal P2P

 

KUALA LUMPUR 5 Okt – Aplikasi amal P2P (peer-to-peer) KitaJaga hari ini mengumumkan penggunaan teknologi blok rantai (blockchain) jenis token tidak sepiawai (NFT) untuk mempromosikan kegiatan amal melalui teknik gamifikasi.

 

Projek pertama melibatkan NFT ialah Kempen Kitajaga NFT yang dilancarkan awal Oktober. Kempen sepanjang empat minggu ini akan memberi 20 pengguna karya seni NFT eksklusif yang dihasilkan oleh pelukis Malaysia, Jiwo. Lima pengguna akan dipilih setiap minggu berdasarkan siapa cepat dia dapat.

 

Sementara itu, pengguna yang menerima karya seni NFT daripada KitaJaga boleh menjualnya semula di Pentas IO atau pasar digital lain.

 

Setiap kali NFT KitaJaga didagangkan, 40% daripada harga jualan akan ditolak sebagai bayaran royalti  dan akan dimasukkan ke dalam dompet KitaJaga sebagai derma untuk membayar perbelanjaan operasi aplikasi.

 

Pengasas KitaJaga, Reza Razali berkata, pihaknya teruja dapat menggunakan NFT di dalam platform amal P2P KitaJaga.

 

''Kempen empat minggu ini bertujuan menggalakkan peminat NFT memberi bantuan kepada pihak-pihak yang menaikkan bendera putih meminta bantuan dalan aplikasi KitaJaga. Pada masa yang sama, mereka ini berpeluang mengumpul NFT boleh dagang dan eksklusif,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

KitaJaga akan mengadakan sesi mingguan untuk membolehkan pengguna menghantar tuntutan untuk NFT dan sistemnya akan memilih lima pengguna pertama secara automatik. Sesi tuntutan pertama akan diadakan pada 12 tengah hari, 16 Oktober 2021.

 

Pengguna yang ingin menghantar tuntutan untuk NFT mesti memenuhi dua syarat:


1) Mereka mesti selesai melengkapkan cabaran membantu sebilangan tertentu bendera putih dalam KitaJaga, dan

2) Pengguna juga dikehendaki mempunyai dompet kripto MetaMask untuk mengambil bahagian. Cabaran minggu pertama ialah membantu dua bendera putih.

 

Kempen ulung KitaJaga NFT ini memaparkan karya digital yang dihasilkan oleh Shahril Majid, pelukis dan pengilustrasi Malaysia yang juga dikenali sebagai Jiwo. Tema kempen ialah Barisan Hadapan (Frontliners), dengan setiap daripada 20 karya seni akan memaparkan seorang pekerja barisan hadapan seperti petugas kesihatan, pegawai polis, penghantar makanan, dan pekerja kedai runcit.

 

“Penggunaan “blockchain” memberi KitaJaga kelebihan mempromosi kerja amal P2P melalui program gamifikasi yang menarik. Kami sedar kempen ini boleh membuka jalan KitaJaga menawarkan amal P2P kepada masyarakat dunia juga. Kami ingin terus meneroka NFT bagi mencari lebih banyak cara untuk menggunakannya bagi membantu kami terus meningkatkan pengalaman pengguna. Jadi, tunggu saja kami nanti!” Reza menerangkan.

 

“Paling penting, keadaan sekarang sukan dan orang masih lagi menaikkan bendera putih meminta bantuan dalam KitaJaga. Marilah kita menyumbang sekadar boleh,” ujar beliau. - DagangNews.com