Aplikasi MY AmanahRaya dilancarkan bagi mudahkan orang ramai tulis wasiat | DagangNews Skip to main content

Aplikasi MY AmanahRaya dilancarkan bagi mudahkan orang ramai tulis wasiat

Ketua Jabatan Transformasi Perniagaan, Lokman Ab Latif; Ketua Pegawai Perniagaan & Operasi Kumpulan, Jack Yap Ngee Heong; Pengarah Urusan Kumpulan,Ahmad Feizal Sulaiman Khan; Pengerusi AmanahRaya, Tan Seri Idrus Harun; Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Kumpulan, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Aini Fariza Mohd Yusoff.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Amanah Raya Bhd melancarkan aplikasi mudah alih, My AmanahRaya sebagai salah satu inisiatif bagi memudahkan orang ramai memulakan perancangan pewarisan mereka lebih awal.

 

Aplikasi yang menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat itu telah dilancarkan oleh Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun di The Intermark Mall bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kumpulan AmanahRaya, hari ini.

 

Menurut syarikat pentadbir amanah itu, My AmanahRaya juga membolehkan pelanggan untuk  membuat temu janji bersama ejen berhampiran dengan pelanggan dalam  menyemak, mengesahkan dan mendapatkan khidmat nasihat percuma mengenai penulisan wasiat. 

 

Tan Sri Idrus berkata, aplikasi My AmanahRaya yang mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem akan memudahkan pelanggan mendapatkan akses produk dan perkhidmatan AmanahRaya. 

 

“Aplikasi ini dilengkapi dengan pelbagai ciri inovatif yang direka untuk memudahkan perancangan pewarisan, khususnya bagi penulisan wasiat, orang ramai boleh mengakses perkhidmatan AmanahRaya pada bila-bila masa, di mana sahaja, secara mudah dan pantas.

 

“Ia juga memastikan transaksi dilakukan dengan cara yang lebih teratur dan sistematik,” ujar beliau.

 

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan semasa ucapan alu-aluannya berkata, pengenalan aplikasi My AmanahRaya selari dengan aspirasi kerajaan yang menggalakkan agensi kerajaan memacu dalam sektor teknologi dan pendigitalan. 

 

“Aplikasi ini membolehkan rakyat Malaysia memohon dan mendaftar sebagai ejen AmanahRaya, sekaligus menjana peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan untuk orang ramai. Setakat akhir Julai 2024, sebanyak 1.1 juta Wasiat telah didaftarkan dengan AmanahRaya.

 

“Lebih 14,000 fail Pusaka pula dengan nilaian RM1.7 bilion dan 38,000 fail Amanah dengan nilaian RM1.3 bilion telah diurus dan ditadbir,” ulas beliau.

 

Majlis tersebut telah dihadiri oleh ahli lembaga pengarah Kumpulan AmanahRaya, pengurusan, warga kerja, rakan strategik dan pelanggan korporat.- DagangNews.com