Aplikasi pelaburan BIMB Investment diiktiraf Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2020 | DagangNews Skip to main content

Aplikasi pelaburan BIMB Investment diiktiraf Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Aplikasi Pelaburan Lestari Robo-Pintar Shariah-ESG, BEST Invest oleh BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) telah memenangi anugerah E-Commerce - Financial Services di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2020.

Menerusi pencapaian itu, Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pihaknya ingin mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula melabur tanpa mengira latar belakang kewangan mereka.

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

"Rakyat Malaysia sentiasa di dalam pemikiran kami dalam penghasilan aplikasi BEST Invest. Kini dengan sebuah telefon pintar, semua orang boleh mula melabur dalam dana lestari patuh Shariah. 

“Kami berbesar hati diberikan penghargaan anugerah berprestij ini kerana ini menunjukkan komitmen BIMB Investment untuk menjadikan pelaburan lebih mudah dan senang difahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

BEST Invest merupakan platform pelaburan pertama seumpanya oleh BIMB Investment yang dilancarkan pada awal tahun ini. 

Pelabur boleh mula melabur dan membina matlamat pelaburan dengan minimum RM10 tanpa caj jualan dan mengeluarkan pelaburan mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Dana-dana unit amanah yang ditawarkan dalam aplikasi BEST Invest adalah dana Shariah-ESG yang diuruskan oleh BIMB Investment.

Dalam pada itu, anugerah itu disampaikan oleh Singapore Business Review menerusi sebuah upacara dalam talian pada 11 September 2020 yang diikuti dengan wawancara bersama Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi.

Bercakap semasa upacara penganugerahan itu, Najmuddin berkata, hampir 20,000 pengguna telah mendaftar dalam aplikasi BEST Invest.

 

Najmuddin Mohd. Lutfi
Najmuddin Mohd. Lutfi

 

“Sudah terlalu lama, pelaburan hanya dianggap untuk pelabur yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Kami sentiasa percaya bahawa pelaburan dan inovasi dari segi penyelesaian kewangan digital dengan mesra pengguna adalah untuk semua lapisan masyarakat Malaysia,” katanya.

Anugerah itu memberi penghormatan kepada syarikat-syarikat yang menerajui pembangunan projek-projek inovatif, perkhidmatan digital, strategi dan inisiatif teknologi.

Para pemenang dinilai berdasarkan keunikan dan inovasi, keberkesanan dan kesan serta dinamisme.

 Calon-calon anugerah dinilai oleh panel elit yang terdiri daripada Rakan Niaga dan ‘FSI Financial and Regulatory Risk Leader’ di Deloitte Asia Pacific, Justin Ong; Pengarah Eksekutif, Rakan Kongsi dan Ketua Transformasi Berkemampuan IT (ITeT) di KPMG Malaysia, Alvin Gan SH; Pengarah Eksekutif bagi Penasihat di BDO Malaysia, Hari Iyer; Pengarah Urusan dari Crowe Growth Consulting Sdn. Bhd.,Michael Lim Jr; dan Rakan Penasihat di Ernst & Young, Jade Leong. - DagangNews.com