SAN FRANCISCO 11 Nov. - Teka-teki berkaitan pelancaran produk terbaharu syarikat Apple Inc (Apple) akhirnya terjawab semalam.
Syarikat berkenaan membuat penampilan produk baharunya iaitu MacBook Air yang dikuasakan dengan cip pengkomputeran syarikatnya sendiri.
Cip pengkomputeran baharu yang dikenali sebagai M1 itu mampu meningkatkan lagi jaringan dan rantaian komputer riba dan iPhone dengan lebih dekat secara teknologi.
Dengan kemunculan cip tersendiri itu, Apple secara tidak langsung menghentikan penglibatan Intel Corp sebagai peneraju dan pembekal cip elektronik komputer Mac sejak 15 tahun lalu, lapor Reuters.
Apple turut memberi harapan kepada pembangun aplikasi agar dapat mencipta rangkaian aplikasi yang boleh disesuaikan dengan kompiter dan telefon keluaran syarikatnya.
MacBook Air yang mula dilancar dan diperkenalkan semalam akan dijual pada harga AS$999 (RM4,116).
Menurut Apple, teknologi baharu itu mempunyai jangka hayat bateri yang tinggi hingga dua kali ganda.
M1 juga dibekalkan dalam MacBook Pro yang akan dijual pada harga AS$1,299 (RM5,353), serta komputer Mac Mini dengan harga AS$699 (RM2,880) yang didatangi tanpa monitor.
Kesemua produk tersebut akan mula dikeluarkan bermula minggu hadapan.
Sementara itu, Pengasas Moor Insight & Strategy, Patrick Moorhead berkata, Apple bakal menikmati penjimatan sebanyak AS$150 hingga AS$200 melalui setiap cip yang dikeluarkan syarikatnya sendiri.
"Kami tidak melihat Apple menambah ciri yang mahal.
"Mereka pergi dengan margin yang jauh lebih tinggi," jelasnya.
Saham Apple melonjak sekitar 0.2% ketika pelancaran produk baharu berakhir. - DagangNews.com