Ar-Rahnu merupakan satu konsep pajak gadai yang berteraskan prinsip-prinsip Syariah. Berlainan dengan amalan pajak gadai konvensional (PGK), Ar-Rahnu menitikberatkan amalan pajak gadai yang bebas daripada elemen-elemen yang dilarang oleh Shari‘ah seperti riba dan gharar.
Islam amat mementingkan kepada kesejahteraan ummah meliputi elemen pemangkin yang mampu menggerakkan sesuatu ummah berhubung kait dengan sistem kewangan sesebuah negara berkenaan.
Ar-Rahnu didefinisikan sebagai bukti atau sesuatu barang yang dikemukakan sebagai cabaran atau sandaran oleh peminjam kepada yang memberi pinjam untuk jangka masa yang tertentu. Definisi ini bertepatan dengan rujukan terjemahan ayat al-Quran, Surah Al-Mudaththir:
كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ (٣٨)
Maksudnya: “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya”.
Konsep Ar-Rahnu dari Perspektif Islam
Transaksi Ar-Rahnu merupakan gadaian yang menjadikan sesuatu barangan yang berharga sebagai satu sandaran. Ia bertujuan bagi meyakinkan pemberi hutang sekiranya si peminjam tidak menjelaskan hutang itu kerana barang yang digadai itu akan dijual dan harganya diambil sebanyak jumlah baki hutang itu.
Pemegang gadaian berhak untuk menjual harta yang menjadi cagaran itu apabila hutang yang diberikan itu cukup tempoh dan menggunakan wang jualan itu bagi menjelaskan pinjaman yang diberikan.
Sekiranya jumlah yang didapati dari proses penjualan harta cagaran itu masih tidak mencukupi, peminjam masih bertanggungjawab menjelaskan baki yang tertinggal itu. Sebaliknya, jika terdapat lebihan, ia merupakan amanah kepada pemegang gadaian dan perlu dikembalikan semula kepada pihak penggadai.
Hukum Menggunakan Barang Gadaian
Tidak harus pemegang gadaian mengambil faedah atau hasil daripada barang gadaian yang dipegang olehnya kecuali dengan keizinan daripada pemberi barang gadaian.
Ulama mazhab Syafie berpendapat tidak harus pemegang gadaian mengguna atau bermanfaat dengan barang gadaian, kerana berpegang dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak tertanggal milik barang gadaian daripada empunya yang telah menggadaikannya, ia berhak mendapat segala faedah atau hasilan barang gadaian, dan menanggung segala kemusnahan dan kekurangannya.”
Perbelanjaan Gadaian
Segala manfaat dan faedah yang didapati daripada barang gadaian adalah milik pemberi gadaian.
Dalam membincangkan tentang upah menjaga dan upah menghantar balik barang gadaian tersebut, ia akan ditanggung oleh tuan barang dan bukannya ditanggung oleh pemegang gadaian.
Oleh itu, jika pemegang gadaian mengeluarkan belanja ke atas barang gadaian tersebut atas sebab-sebab yang munasabah adalah dikira sebagai hutang yang mesti dibayar oleh orang yang menggadaikannya.
Selain itu, perlu difahami bahawa pemegang gadaian hendaklah menjaga barang gadaian sebagai amanah. Sekiranya berlaku kerosakan atas sebab kecuaian atau ketidakpekaan daripadanya, maka ganti rugi akan dikenakan kepada pemegang gadaian tersebut.
Gadaian itu berterusan sehingga orang yang berhutang menjelaskan segala hutangnya, maka pada ketika itu pemegang gadaian hendaklah menyerahkan barang gadaian kepada tuannya.
Tidak membebankan
Pelaksanaan sistem pajak gadai Islam atau lebih dikenali sebagai Ar-Rahnu yang tidak membebankan penggadai serta tidak mengenakan faedah ternyata memberi kelebihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan.
Sebagai rumusan ringkas, Ar-Rahnu mempunyai potensi-potensi yang tersendiri dan bersesuaian dengan keadaan sosio-ekonomi masyarakat majmuk di Malaysia.
Bahkan, Ar Rahnu juga dapat diguna pakai sebagai satu daripada instrumen mikro-kredit berkesan bagi golongan yang berpendapatan rendah.
Dengan kewujudan Skim Ar-Rahnu ini, ia secara tidak langsung membantu masyarakat khususnya umat Islam di negara ini mendapatkan wang segera dengan cara selamat dan terjamin juga mereka terhindar daripada sebarang urus niaga berunsurkan riba.- DagangNews.com