Artem Ventures lancar PACE Bootcamp, program latihan keusahawanan dengan kerjasama Google | DagangNews Skip to main content

Artem Ventures lancar PACE Bootcamp, program latihan keusahawanan dengan kerjasama Google

(Dari kiri): Pengetua Artem Ventures, Omar Asraf; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Pengarah Kluster Google Pakistan, Malaysia dan Pasaran Sempadan, Farhan S. Qureshi.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Artem Ventures melancarkan PACE Bootcamp bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menawarkan bimbingan dan latihan kepada pengusaha terlibat.

 


Program latihan selama 10 minggu itu melibatkan beberapa siri bengkel, menawarkan pengalaman pembelajaran mendalam kepada para usahawan dalam topik berbeza seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertumbuhan perniagaan, strategi mengembangkan skala produk dan perancangan kewangan.

 

Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut menyaksikan pengesahan kerjasama antara Artem PACE, Google dan WORQ hari ini.

 

Menurut Artem PACE, peserta kem itu dapat memanfaatkan sokongan Google dan bimbingannya mengenai penggunaan Google AI bagi mengoptimumkan dan mengembangkan skala syarikat pemula mereka.

 

Di samping itu, kem itu menawarkan program intensif tanpa yuran dan tanpa ekuiti kepada 30 syarikat yang layak dan hanya tiga syarikat sahaja akan dipilih untuk menerima manfaat bukan dalam bentuk kewangan daripada rakan program.

 

"Kohort pertama PACE Bootcamp ini bakal menerima kedua-dua ilmu teori dan kemahiran praktikal daripada Google dan pakar dalam bidang teknologi, kepimpinan, pemasaran dan pembangunan produk yang lain, memastikan para peserta mendapat pengalaman pendidikan yang menyeluruh," ulas Artem PACE. 

 

Pengetua Artem Ventures, Tunku Omar Asraf menggariskan tujuan program itu bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengasas syarikat untuk membina produk dan perkhidmatan dalam pasaran. 

 

"Dengan menggabungkan amalan terbaik industri global dengan pengetahuan pasaran tempatan yang mendalam, kami berjaya merangka sebuah program yang unik bagi mendorong PKS dan syarikat pemula ke satu tahap yang lebih cemerlang," kata beliau. 

 

Pengarah Kluster Google Pakistan, Malaysia dan Pasaran Sempadan, Farhan S. Qureshi berkata, kem tersebut merupakan peluang terbaik bagi menyokong dan mengembangkan komuniti syarikat pemula. 

 

"Dengan menyediakan alat AI, kredit awan, bimbingan dan latihan, kami komited untuk membantu usahawan ini membina gelombang inovasi dan perniagaan berjaya yang seterusnya di Malaysia dan peringkat global,” ujar beliau. 

 

Gobind Singh turut berkata, kem tersebut juga selaras dengan perkembangan pesat landskap digital yang kini menyaksikan lebih banyak cabaran. 

 

"Cabaran digital tersebut juga memberi peluang berinovasi dan menjalankan program seperti PACE Bootcamp ini yang bakal membantu syarikat pemula dan PKS kita,” ujar beliau - DagangNews.com