ASEAN, Australia perlu bersedia kongsi pengetahuan dalam hadapi kecemasan kesihatan | DagangNews Skip to main content

ASEAN, Australia perlu bersedia kongsi pengetahuan dalam hadapi kecemasan kesihatan

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - ASEAN dan Australia perlu bersedia untuk berkongsi pengetahuan serta memanfaatkan teknologi digital dalam usaha untuk menghadapi kecemasan kesihatan serta kemunculan penyakit baharu pada masa akan datang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia sangat menghargai sokongan Australia terhadap ASEAN dalam mengurangkan kesan COVID-19.

 

“Hampir AS$700 juta telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif dan ia sangat membantu ASEAN untuk meneruskan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif bagi melaksanakan strategi pemulihan ASEAN dan membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia yang turut disertai Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

 

Ismail Sabri berkata, hubungan dialog ASEAN-Australia terus berkembang sejak 1974 dan keadaan itu semakin kuat dengan kemunculan pelbagai bidang kerjasama baharu.

 

Beliau berkata, Malaysia menyokong kemajuan Hubungan Dialog ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik komprehensif dan penglibatan tahunan di peringkat tertinggi dapat memberikan sumbangan lebih besar dalam mengukuhkan lagi perkongsian untuk manfaat bersama.

 

“Malaysia juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Morrison mengenai bantuan tambahan sebanyak AS$124 juta dalam 10 tahun akan datang.

 

“Bidang kerjasama yang disyorkan amat relevan. Malaysia menantikan projek yang saling menguntungkan yang  merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN,”katanya.

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia, Brunei dan Australia telah menjalinkan kerjasama rapat dalam bidang kesihatan mental.

 

Beliau berkata, Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.

 

“Sehubungan itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota dan Australia untuk menjadikan penjagaan kesihatan mental lebih mudah diakses dan tersedia melalui penggunaan platform digital,” katanya.

 

Beliau juga memberitahu, Malaysia masih menunggu maklum balas cadangan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia.

 

Dalam bidang pendidikan, Ismail Sabri berkata, Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal sangat penting dan ia boleh menyumbang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan syarikat pemula. 

 

Beliau berkata, PMKS menyumbang lebih 60 peratus pekerjaan di rantau ini.

 

“Pendidikan adalah perkara penting dalam perkongsian ASEAN-Australia. 

 

"Untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang ini, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia untuk melengkapkan komuniti terpinggir termasuk belia, wanita dan kanak-kanak di rantau ini, dengan kemahiran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

 

“Ini akan membantu meningkatkan kemahiran dan menghasilkan pekerja mahir. Ia juga akan meningkatkan kualiti tenaga buruh, keberkesanan dan kecekapan PMKS dan syarikat pemula dan akhirnya meningkatkan rantaian bekalan serta produktiviti pembuatan di rantau ini,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia yang turut sama menyertai 'Bersama Gold'  Perjanjian Pertahanan Lima Negara, baru-baru ini.

 

Sidang Kemuncak ASEAN-Australia diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei.-DagangNews.com