ASEAN bakal rugi AS$400 bilion dalam KDNK 2020/2021 | DagangNews Skip to main content

ASEAN bakal rugi AS$400 bilion dalam KDNK 2020/2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pasaran serantau ASEAN bakal kehilangan sehingga AS$400 bilion daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 dan 2021, berbanding ramalan 2019 akibat penularan COVID-19.

 

Bagi mengimbangi kerugian itu, kerajaan-kerajaan telah menyokong ekonomi serantau dengan langkah pelaburan dan dasar dengan peruntukan lebih daripada AS$427 bilion.

 

“Penanggung insurans ASEAN telah melaksanakan usaha lanjut untuk mengurangkan impak COVID-19 dan pelbagai langkah perintah berkurang dilaksanakan di seluruh rantau itu. 

 

“Bersama-sama pihak berkuasa kawal selia, penanggung insurans dan persatuan telah menubuhkan dana ujian COVID-19 sukarela, membenarkan bayaran ansuran premium atau terus memberikan perlindungan kepada pemegang polisi yang menangguhkan bayaran premium mereka, jelas laporan kajian ASEAN Insurance Pulse 2020 yang dilancarkan oleh Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), semalam.

 

Mengulas mengenai dapatan tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak berkata, penerbitannya menunjukkan sokongan dan komitmen berterusan kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan pihak berkepentingan insurans serantau ketika waktu mencabar ini.

 

“Kami yakin terbitan pada tahun ini akan memberi manfaat kepada komuniti memandangkan kami mengkaji dengan mendalam impak pandemik COVID-19.

 

Zainudin Ishak
Zainudin Ishak

 

"Selain menguntungkan persepsi keseluruhan industri kami, penanggung insurans ASEAN juga telah menunjukkan ketahanan mereka berdasarkan kunci kira-kira yang kukuh dan mereka berkhidmat kepada pelanggan secara digital sepanjang krisis COVID-19,” katanya dalam sebuah kenyataan. 

 

ASEAN Insurance Pulse 2020 dirasmikan secara maya oleh Ketua Setiausaha ASEAN Insurance Council, Christian Wanandi; dan disaksikan oleh Pengerusi MNRB Holdings Berhad (MNRB), Datuk Johar Che Mat; Pengerusi Malaysian Re, George Oommen; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud; dan Zainudin.

 

Kajian itu meneroka impak pandemik COVID-19 ke atas ekonomi dan pasaran insurans rantau berkenaan. 


Ini melibatkan eksekutif insurans yang beroperasi di rantau ini berhubung bagaimana pandemik COVID-19 membentuk pasaran mereka, langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh pengawal selia sepanjang krisis itu dan bagaimana wabak berkenaan mengubah industri insurans ASEAN.


ASEAN Insurance Pulse 2020 dihasilkan berdasarkan temu bual mendalam dengan eksekutif-eksekutif yang mewakili 30 syarikat insurans serantau dan antarabangsa, perantara, pembuat polisi dan persatuan perdagangan. - DagangNews.com