ASP sarung tangan getah hilang 'tarikan', penganalisis semak penarafan dan TP lebih rendah kepada Top Glove | DagangNews Skip to main content

ASP sarung tangan getah hilang 'tarikan', penganalisis semak penarafan dan TP lebih rendah kepada Top Glove

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah dijangka terus berdepan trend penurunan berikutan meningkatnya kesedaran vaksinasi di seluruh dunia dan juga persaingan daripada pengeluar China. 

 

Faktor tersebut dilihat akan terus mempengaruhi prospek Top Glove Corp. Bhd. pada masa akan datang, apatah lagi prestasi kewangannya bagi suku pertama berakhir 30 November 2021 yang diumumkan Jumaat lalu berada di bawah jangkaan firma-firma penyelidikan. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw menjangkakan syarikat pengeluar sarung tangan getah itu akan berdepan prestasi kewangan yang lemah pada suku akan datang apabila permintaan semakin berkurangan memandangkan pandemik COVID-19 dapat dikawal. 

 

Situasi ini, katanya, menyebabkan ASP yang lebih lemah untuk sarung tangan disebabkan bekalan baharu global dan corak pembelian pelanggan semakin perlahan.

 

"Kami juga mendapati pelanggan mengekalkan paras inventori yang rendah disebabkan penurunan ASP dan kapasiti global yang akan datang.

 

"Mengambil kira faktor ini, kami menyemak turun penarafan saham Top Glove kepada 'kurang' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.50.

 

"Malah, kami juga mengurangkan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 ekoran penurunan berterusan ASP," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Pendapatan Q1 merosot, jejaskan untung bersih Q1 Top Glove kepada hanya RM186 juta daripada RM2.36 bilion

 


Bagi suku pertama itu, untung bersih Top Glove Corp. susut mendadak kepada hanya RM185.72 juta berbanding RM2.36 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga merosot kepada RM1.58 bilion daripada RM4.76 bilion.

 

Pendapatan bagi suku ke suku juga susut 24% daripada RM2.08 bilion pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2021 dengan keuntungan selepas cukai susut 57% kepada RM202 juta.

 

Prestasi sukuan yang lebih lemah pada suku pertama itu disebabkan terutamanya penurunan ASP dan kos operasi lebih tinggi hasil daripada kadar penggunaan yang lebih rendah.

 

Berikutan prestasi kewangan itu juga, Kenanga Research menyemak turun penarafan saham Top Glove kepada 'outperform' daripada 'market perform' sebelum ini dengan TP lebih rendah kepada RM2.05.

 

Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon turut mengurangkan untung bersih kumpulan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 55% dan 48%.

 

"Ini disebabkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY22 dikurangkan daripada 28% kepada 19% berikutan ASP lebih rendah kepada AS$30 berbanding AS$32 sebelum ini, dengan pertumbuhan volum juga dikurangkan kepada 11% daripada 28% dan mengambil kira kadar cukai lebih tinggi pada 28% (berbanding 20% sebelum ini) daripada Cukai Makmur. 

 

"Pada masa sama, anggaran margin EBITDA bagi FY23 juga dikurangkan kepada 18% daripada 25% apabila ASP dikurangkan kepada AS$28 daripada AS$29 manakala pertumbuhan volum berkurangan kepada 13% daripada 24%," jelasnya. 

 

Sementara itu, MIDF Research masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Top Glove tetapi menyemak turun TP kepada RM2.27. 

 

Firma itu mengurangkan anggaran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 4.4% dan 4.2% kepada RM1.7 bilion dan RM1.4 bilion.

 

"Semakan semula lebih rendah ini disebabkan penurunan ASP telah menjejaskan prestasi suku pertama kumpulan," katanya. 

 

Setakat 9.29 pagi ini, Top Glove berada dalam kalangan kaunter paling rugi dengan harga sahamnya susut 9 sen atau 4.17% kepada RM2.07 dengan 8.43 juta saham diniagakan. - DagangNews.com