Aspirasi CashNow diperkenal kepada pembeli Lazada | DagangNews Skip to main content

Aspirasi CashNow diperkenal kepada pembeli Lazada

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Pembeli secara dalam talian yang mencari pilihan pembiayaan fleksibel, kini boleh memohon Aspirasi CashNow, satu penyelesaian pembiayaan digital sepenuhnya yang ditawarkan oleh Aspirasi. 

 

Ia merupakan penyedia perkhidmatan pembiayaan mikro dan insurans mikro di bawah Axiata Digital. 

 

Boleh didapati di Lazada Malaysia, sebuah platform e-Dagang utama di negara ini, permohonan untuk Aspirasi CashNow terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 ke 65 tahun, yang mempunyai akaun Lazada Wallet yang aktif.

 

Aspirasi CashNow adalah patuh syariah dan jumlah pembiayaannya bermula daripada RM500 sehingga RM2,500, dengan kadar faedah rendah dan tempoh bayaran ansuran bulanan yang mudah. 

 

Individu yang layak akan menerima dana yang dikreditkan ke dalam Lazada Wallet dalam masa 48 jam, dan menikmati Aspirasi CashNow Protect, iaitu liputan insurans mikro secara percuma yang menyediakan faedah kematian akibat kemalangan, kecacatan kekal dan perlindungan bil dalam talian.

 

Pengarah Eksekutif Aspirasi, Sheyantha Abeykoon berkata, ini bukanlah kali pertama Aspirasi dan Lazada bekerjasama dalam membangunkan ekonomi digital Malaysia.

 

Katanya, pengenalan Aspirasi CashNow adalah lanjutan daripada perkhidmatan pembiayaan digital bagi menambahbaik infrastruktur kesalinghubungan untuk pengguna Lazada melalui capaian pembayaran digital yang lebih baik.

 

"Kami menyediakan sokongan pembiayaan digital kepada syarikat mikro dan peniaga PKS di platform Lazada sejak suku keempat 2019," katanya dalam kenyatan hari ini. 

 

Lazada Malaysia bekerjasama buat kali pertama dengan Aspirasi pada 2019 untuk menyediakan sokongan kewangan kepada syarikat mikro dan peniaga PKS di platform e-Dagang. 

 

Kerjasama ini menggunakan perkhidmatan kewangan digital menyeluruh Aspirasi yang menawarkan penyelesaian pembiayaan yang cepat dan mudah dalam usaha meningkatkan potensi pertumbuhan peniaga yang disenaraikan di Lazada Malaysia.

 

Melalui penyelesaian modal kerja Aspirasi, peniaga boleh menikmati pembiayaan mudah dengan insurans mikro sebagai faedah pilihan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Sherry Tan berkata, terdapat peningkatan minat dalam kalangan pengguna yang mencari pembiayaan fleksibel dan kemudahan ketika membeli-belah secara dalam talian. 

 

"Sejak beberapa tahun ini, kami terus melabur untuk membawakan pengalaman pelanggan yang berkualiti melalui kesenangan dan kemudahan, dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Aspirasi," katanya. - DagangNews.com