Astro jalin kerjasama dengan Celcom Timur tawar jalur lebar berkelajuan tinggi, pakej TV di Sabah | DagangNews Skip to main content

Astro jalin kerjasama dengan Celcom Timur tawar jalur lebar berkelajuan tinggi, pakej TV di Sabah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Astro telah telah menandatangani perjanjian akses dengan Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd. untuk membolehkan syarikat itu menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi bersama pakej TV Astro kepada potensi 118,000 rumah di Sabah.

 

Melalui kerjasama tersebut, tawaran syarikat kandungan dan hiburan itu akan merangkumi bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kunak, Sandakan, Penampang, Lahad Datu, Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Putatan, Ranau, Tenom dan Tuaran.

 

Celcom Timur adalah sebuah syarikat yang menyediakan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Sabah.

 

Dalam satu kenyataan Astro hari ini, ia akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kendiri dan ‘bundle’ sebagai tambahan kepada pakej TV Astro kepada lebih ramai pelanggan di Sabah tanpa perlu membina infrastruktur baharu.

 

Di samping itu, syarikat tersebut dapat meneruskan tawaran sambungan internet berprestasi tinggi dan penyelesaian komprehensif kepada pelanggannya melalui Penyelesaian Capaian Internet dari Celcom Timur Sabah.

 

Sementara itu, perkhidmatan Astro Fibre ke kawasan ini dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun 2023.

 

Astro Fibre menawarkan hiburan dan nilai terbaik kerana para pelanggan juga boleh memilih untuk mencipta pakej hiburan mereka sendiri dengan menambah pada Pek TV Astro dan menikmati rebat pakej sehingga RM39.00 sebulan.

 

Astro Fibre yang digabungkan dengan Pek TV bermula dari RM139.99 sebulan dengan rangkaian internet 50Mbps untuk menyampaikan pengalaman penstriman yang paling menakjubkan.

 

Selain itu, ia turut menyediakan Primary Pack yang terdiri daripada lebih daripada 80 saluran, koleksi Video on Demand yang pelbagai, akses kepada Astro GO dan 200 jam penyimpanan awan (Cloud Storage). -DagangNews.com