KUALA LUMPUR 21 Nov - Bank Rakyat melalui Imtiaz Sukuk II Berhad menerbitkan Sukuk SRI (Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) Kelestarian ASEAN sulungnya bernilai RM500 juta, berdasarkan prinsip syariah wakalah bi al-Istithmar, daripada program sukuk wakalah RM10 bilion sedia ada.
Pengeluaran itu menandakan tawaran kelestarian pertama Bank Rakyat selepas penyelesaian semakan terma pasca-pengeluaran pada Ogos 2024, yang membolehkan mereka memasukkan format pengeluaran kelestarian ke dalam Program Sukuk Wakalah.
Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai pengurus utama bersama dan ejen kemudahan, manakala Maybank Islamic Berhad adalah penasihat syariah untuk pengeluaran sulung tersebut.
MARC Ratings memperuntukkan Penilaian Bon Impak Emas tertinggi untuk Kerangka Sukuk Kelestarian Bank Rakyat yang mentadbir pembiayaan mampan masa depan Bank Rakyat yang dikumpulkan di bawah format penggunaan hasil.
Kerangka berkenaan sejajar dengan komponen teras Piawaian Bon Hijau/Sosial/Mampan ASEAN yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal ASEAN dan Kerangka Sukuk SRI yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, pengeluaran Sukuk SRI (Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) Kelestarian sulung itu telah menarik minat yang luar biasa daripada pelbagai pelabur termasuk institusi kewangan, agensi kerajaan, syarikat insurans dan syarikat pengurusan aset.
Katanya, tawaran kelestarian terbabit menarik perhatian pelabur disebabkan kekurangan dan tumpuan yang semakin meningkat terhadap pelaburan lestari.
"Di Maybank, kami terus berusaha untuk menjadi rakan pilihan dalam peralihan ke pengeluaran bebas karbon bagi pelanggan kami di Malaysia dan seluruh ASEAN.
"Dari 2021 hingga Jun 2024, Kumpulan Maybank telah menggerakkan RM83.2 bilion dalam pembiayaan lestari, melebihi sasaran kami sebanyak RM80 bilion menjelang 2025, sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian kami," katanya dalam satu kenyataan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff pula berkata, hasil yang diperoleh daripada pengeluaran sukuk itu akan digunakan untuk membiayai projek-projek layak yang menyumbang kepada manfaat alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan dalam Kerangka Sukuk Kelestariannya.
"Usaha ini akan menyokong lagi objektif bank untuk memperluas portfolio pembiayaan hijau dan sosial kami sambil memperkukuhkan peranan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Bank Rakyat merupakan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan aset berjumlah RM118.7 bilion pada akhir 2023. - DagangNews.com