KUALA LUMPUR 26 Sept - Astro Malaysia Holdings Bhd. mengumumkan Henry Tan Poh Hock akan bersara daripada jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa 31 Januari 2023.
Sebagai sebahagian daripada pelan penggantian, Lembaga Pengarah telah melantik Euan Daryl Smith bagi menggantikan Poh Hock berkuat kuasa serta-merta.
Mengiktiraf kepakarannya yang tidak ternilai dalam kandungan, Poh Hock sebaliknya akan terus berperanan sebagai Penasihat untuk mengukuhkan saluran kandungan Astro dan berkhidmat kepada perniagaan dan platform kumpulan.
"Euan akan memulakan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan mulai 1 Februari 2023.
"Lembaga Pengarah yakin beliau akan terus mengubah dan menerajui Astro ke masa hadapan, disokong oleh pasukan pengurusan yang kukuh yang terdiri daripada bakat Malaysia dan antarabangsa," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Beliau menyertai Astro sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pay TV pada 2020 dan membawa pengalaman Pay TV yang hebat, setelah memegang peranan kepimpinan kanan di Sky UK & Fox US.
Malah, Euan adalah ahli penting pasukan yang membentuk kejayaan Sky Germany dan memainkan peranan penting dalam membantu Foxtel Australia bergerak ke era penstriman.
Sementara itu, Pengerusi Astro, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Poh Hock atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada kumpulan sejak 2008.
"Beliau telah menjadi pemimpin yang memberi inspirasi kepada semua di Astro, setelah mengemudi pasukan melalui fasa perniagaan yang berbeza, mencapai beberapa pencapaian penting dalam industri media dan hiburan.
"Sebagai penyokong kandungan tempatan, beliau juga terkenal kerana mengubah filem tempatan menjadi sensasi box office, dan kerana membina kandungan yang berharga dan harta intelek asli, yang merupakan teras kepada Astro," katanya. - DagangNews.com