ATA IMS ambil tindakan segera tangani isu amalan buruh, harga sahamnya terus menjunam hampir 37% | DagangNews Skip to main content

ATA IMS ambil tindakan segera tangani isu amalan buruh, harga sahamnya terus menjunam hampir 37%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - ATA IMS Bhd. menegaskan sebagai pengilang kontrak yang pekerjanya merupakan tulang belakang kepada perniagaannya, syarikat memberi penekanan ketara terhadap kebajikan, keselamatan dan keselamatan pekerja di bawahnya. 

 

Syarikat pembekal itu merujuk kepada laporan Reuters semalam berhubung keputusan Dyson menamatkan kontrak dengannya selepas proses audit yang dijalankan mendapati berlakunya  salah laku dari segi amalan buruh.

 

Dyson yang dimiliki hartawan British, James Dyson berkata, mereka menerima keputusan audit mengenai suasana bekerja di ATA IMS pada awal Oktober lalu. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, ATA IMS menekankan bahawa ia mempunyai dasar dan sistem sedia ada, termasuk talian hotline pemberi maklumat tanpa nama yang dikendalikan oleh pihak ketiga, program induksi mantap yang mendidik pekerja mengenai saluran mereka yang tersedia untuk menyatakan sebarang kebimbangan yang mungkin ada dan program kaunseling untuk memastikan kesejahteraan pekerja.

 

"Selain itu, syarikat juga melibatkan pengusaha asrama profesional untuk menyediakan kemudahan penginapan dan tempat tinggal yang bersih.

 

"Malah, syarikat juga ingin menekankan bahawa ia juga tertakluk kepada audit berkala dan pemeriksaan terhadap suasana bekerja dan kehidupan pekerja," katanya. 

 

 

Baca : Dyson tamatkan kontrak dengan ATA berhubung isu buruh paksa

 

 

Semalam, ATA IMS mengesahkan ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) telah menerima notis penamatan kontrak daripada Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing) pada 24 November 2021, jam 5.30 petang.

 

Notis penamatan kontrak itu membabitkan Perjanjian Pengilangan Kontrak bertarikh 15 Oktober 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM; perjanjian bagi Bekalan Barangan dan Perkhidmatan bertarikh 1 Mac 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM dan Perjanjian Rangka Kerja bagi Bekalan Barangan (Perkakasan) bertarikh 17 Jun 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.

 

Dyson Operations dan Dyson Manufacturing telah mengeluarkan notis penamatan tanpa sebab mengikut syarat kontrak masing-masing. Tarikh kuat kuasa penamatan ialah 1 Jun 2022 (Tarikh Penamatan). Sehingga Tarikh Penamatan, Dyson dan ATA akan terus melaksanakan sepenuhnya kewajipan masing-masing di bawah kontrak.

 

Mengulas lebih lanjut hari ini, ATA IMS berkata, pemeriksaan mengejut juga dijalankan Jabatan Tenaga Buruh, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) termasuk Suhakam tetapi tidak menemui sebarang isu penggunaan buruh paksa di dalam syarikat.

 

"Oleh itu, syarikat amat memandang serius mengenai dakwaan amalan buruh paksa yang disebut dalam ringkasan audit yang telah diterimanya, dan dakwaan penderaan fizikal yang dibuat oleh bekas pekerja ATA IMS yang disebut dalam laporan berita itu yang telah mendapat perhatiannya sebelum ini," tambahnya. 

 

Menurutnya, syarikat dengan serta-merta dimaklumkan tentang ringkasan audit, melantik firma perunding untuk menyemak dan mengesahkan penemuan tersebut dan untuk mengambil langkah pemulihan jika perlu.

 

ATA IMS telah berdaftar dengan Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) bagi audit Program Pengesahan Penilaian (VAP) melalui platform pendaftaran dalam talian dan ia dijangka mengemukakan semua keperluan menjelang Disember 2021 dan bagi audit VAP dijalankan pada suku pertama 2022. 

 

Di samping itu, katanya, syarikat turut melantik firma perundangan profesional di Malaysia untuk menjalankan semakan bebas terhadap tuduhan penderaan fizikal membabitkan bekas pekerja syarikat. 

 

"Penemuan awal daripada firma itu mendapati tuduhan itu mungkin tidak berasas. Tetapi laporan terperinci dan penemuannya akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan syarikat akan menyeluarkan kenyataan apabila laporan bebas ini lengkap sepenuhnya," jelasnya. 

 

Pada masa sama, ATA IMS menegaskan, tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang didapati melanggar dasar dan atau melakukan perbuatan terhadap kebajikan dan keselamatan pekerja. 

 

"Mana mana-mana perbuatan yang menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang, syarikat juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa," tegasnya lagi.

 

Setakat 3.36 petang ini, saham ATA IMS merosot 30 sen atau 36.59% kepada 52 sen sesaham menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM626.27 juta. 

 

Dalam nota kajian hari ini, AmInvestment Bank Research menurunkan penarafan sahamnya kepada 'jual' berbanding 'beli' sebelum ini dengan nilai wajar lebih rendah pada 56 sen (daripada RM2.89 sebelum ini). 

 

"ATA IMS mungkin tidak berada dalam kedudukan terbaik untuk berunding dengan bakal pelanggan baharunya, justeru, kami percaya pemulihan syarikat daripada krisis ini dilihat tidak menentu, diburukkan lagi dengan masalah kekurangan tenaga buruh," jelasnya. - DagangNews.com