Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - ATA IMS Bhd. menyatakan komitmennya untuk menambahbaik amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan syarikat.
Malah, pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu juga akan bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan untuk muncul sebagai syarikat contoh dalam industri EMS.
"Sebagai sebuah syarikat tempatan Malaysia, kami akan memastikan pematuhan undang-undang negara tanpa kompromi kerana kami komited untuk mencapai piawaian menjadi salah satu penyedia terbaik.
"Para pekerja kami adalah kekuatan syarikat, justeru, kesejahteraan dan kebajikan mereka adalah keutamaan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan para pegawai kementerian, Jabatan Tenaga Kerja Johor dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia mengadakan lawatan ke kilang ATA IMS di Johor Bahru.
Ketika lawatan tersebut, mereka didapati berpuas hati dengan persekitaran kondusif di kawasan kilang dan penginapan pekerja berada di tahap memuaskan.
Pada 25 November lalu, ATA IMS mengesahkan menerima notis penamatan kontrak daripada Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing) berikutan amalan buruhnya.
Notis penamatan kontrak itu membabitkan Perjanjian Pengilangan Kontrak bertarikh 15 Oktober 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM; perjanjian bagi Bekalan Barangan dan Perkhidmatan bertarikh 1 Mac 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM dan Perjanjian Rangka Kerja bagi Bekalan Barangan (Perkakasan) bertarikh 17 Jun 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.
Saravanan berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan yang ketat dalam mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Sehubungan itu, katanya, pematuhan positif ATA terhadap peraturan dan kawal selia Malaysia menunjukkan organisasi itu sedang bergerak ke arah mencapai penanda aras industri untuk penambahbaikan ESG.
"Saya menggesa ATA IMS dan juga pemain industri yang lain supaya berusaha menyelesaikan isu berkaitan tempat kerja dan menambah baik piawaian ke arah memastikan kesinambungan perniagaan yang positif dan inklusif," katanya. - DagangNews.com