KUALA LUMPUR 19 Sept - Penyedia mesin layan diri, ATLAS Vending sekali lagi melakar sejarah dengan pelancaran inovasi yang terbaharu, mesin layan diri non-fungible token (NFT) yang pertama, sempena sambutan Hari Malaysia.
ATLAS mengambil peluang mencipta platform untuk 13 artis NFT tempatan dengan mempamerkan karya seni masing-masing yang menggabungkan seni dan budaya tempatan.
ATLAS menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran ratusan pengunjung di REXKL untuk mendapatkan NFT eksklusif itu.
Untuk menggalakkan penyertaan orang ramai, 13 mesin layan diri telah ditempatkan di REXKL dan setiap mesin layan diri mewakili setiap negeri di Malaysia dan artis NFT yang berasal dari negeri tersebut.
Mesin layan diri ini akan tersedia dari 16 September hingga 16 Disember 2022 dan setiap mesin layan diri mengandungi sebanyak 300 karya seni NFT yang mana 50 daripadanya adalah NFT platinum ekslusif yang akan diedarkan secara rawak.
Sempena sambutan ulang tahun ke-59 Hari Malaysia, setiap NFT boleh didapati dengan hanya RM59 melalui pembayaran tunai.
Selain itu, mereka yang membeli NFT akan berpeluang memenangi beberapa ganjaran menarik daripada 59 pilihan hadiah yang akan diedarkan secara rawak, termasuk 13 Nintendo Switch dan 46 hadiah barangan edisi terhad.
Semua pemenang akan diumumkan pada 9 Disember 2022 di REXKL ketika majlis penyampaian hadiah ATLAS yang akan disertai barisan artis NFT.
Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan Sampingan ATLAS Vending, Kalithasan Sothinathan berkata, selepas kejayaan kempen Sapot SME tahun lepas, ATLAS menyasarkan untuk menjana ekonomi melalui seni dan budaya dengan mewujudkan platform memudahkan akses kepada karya seni artis tempatan sambil memberikan kepada mereka pengiktirafan.
"Populariti NFT telah melonjak naik kebelakangan ini dan ia telah merevolusikan sektor blockchain. Oleh itu, kami mahu membawa kesemua 13 artis NFT tempatan bersama-sama kami untuk menarik perhatian rakyat Malaysia kepada NFT.
“Mesin layan diri biasanya direka untuk mengeluarkan minuman. Inisiatif terbaharu kami membuktikan bahawa usaha kami melampaui norma biasa.
"Fleksibiliti ATLAS membolehkan orang ramai menikmati pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan kerana kami tidak putus berusaha untuk memenuhi keperluan unik pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif itu juga bertujuan untuk memartabatkan artis tempatan melalui model perkongsian keuntungan yang mana jumlah jualan yang dijana oleh NFT ini akan dikongsi di kalangan semua artis yang terlibat dalam projek ini. - DagangNews.com