ATM uji dua kenderaan tempur buatan UAE | DagangNews Skip to main content

ATM uji dua kenderaan tempur buatan UAE

Kenderaan perisai jenis Calidus Mcav 20 buatan UAE
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 7 Mac - Satu proses uji nilai sedang dilakukan oleh tim penilaian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada dua jenis kenderaan berperisai ringan buatan firma pertahanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Difahamkan penilaian tersebut merupakan salah satu prosedur untuk melihat kesesuaian serta kelasakan sesebuah kenderaan yang hendak dipertimbangkan kepada ATM.

Memandangkan kenderaan buatan UAE dibina berdasarkan pada persekitaran dan iklim negara berkenaan, maka proses uji nilai di negara beriklim tropika seperti Malaysia adalah sesuatu yang berbeza.

Secara kebetulan uji nilai ini juga dilakukan tidak lama selepas penyertaan ATM dalam Eksesais Desert Tiger 6/2023 di negara tersebut.

Sejak minggu lalu, kenderaan perisai jenis Calidus Mcav 20 dari UAE dihantar ke sini untuk diuji pihak Tentera Darat.

 

 

 

atm
Kenderaan perisai jenis Calidus Mcav 20 buatan UAE sedang diuji nilai

Calidus merupakan syarikat teknologi pertahanan yang mengeluarkan kenderaan darat dan subsistem berkaitan serta menyediakan penyelesaian integrasi untuk pelbagai peralatan.

Kenderaan yang diuji ini, Caldus Mcav 20 merupakan sebuah kenderaan berperisai tempur ringan untuk pelbagai peranan.

Ia boleh dipasang senjata bagi menyokong operasi pasukan infantri, melakukan rondaan dan melindungi anggota yang dibawa.

Ciri-ciri pada kenderaan ini juga sesuai untuk menyokong misi peninjauan dan pengawasan, pengangkutan anggota dan pemindahan perubatan.

Ini termasuklah dalam misi tentera pengaman, misi keselamatan khas dan operasi pasukan atur gerak cepat.

 

 

 

atm
Kenderaan Ajban SOV boleh memuatkan empat kru dan ruang kargo



Sebuah lagi kenderaan yang diuji ialah Ajban SOV 4x4 NIMR iaitu kategori kenderaan operasi khusus buatan NIMR Automotive (NIMR).

NIMR merupakan pengeluar automotif ketenteraan dengan fokus pada kenderaan jenis  ringan dan sederhana meliputi pelbagai platform mengikut keperluan pengguna. 

Ia termasuklah melakukan integrasi sistem persenjataan serta selenggaraan kenderaan.

NIMR sebelum ini giat melakukan usaha untuk menembusi pasaran luar Timur Tengah khususnya ke negara Asia Tenggara berikutan perjanjian dengan rakan industri di Malaysia dan Thailand.

Menerusi kerjasama dengan DRB HICOM Defence Technology (Deftech) pada 2018, kedua-duanya bersedia mewujudkan perkongsian dalam segmen automotif.

Peranan Deftech termasuk menyokong NIMR melalui pemasaran dan penjualan rangkaian lengkap kenderaan firma tersebut ke Malaysia dan wilayah lain di Asia Tenggara.

 

 

 

atm
Operasi pasukan khusus seperti Gerup Gerak Khas memerlukan kenderaan seperti Ajban SOV



Kenderaan Ajban SOV memuatkan empat kru dan ruang kargo yang boleh dikonfigurasikan untuk pelbagai peranan termasuk pengangkutan tentera, kargo, logistik dan sokongan. 

Sebagai kenderaan operasi khusus, ia mempunyai kelebihan pada aspek mobiliti selain kesesuaian untuk beroperasi dalam keadaan muka bumi yang mencabar.

Kenderaan peninjau jarak jauh 4×4 dengan ruang atas terbuka ini direka untuk digunakan oleh pasukan khas. 

Spesifikasi kenderaan memudahkan ia melalui  semua rupa bumi selain boleh diangkut dengan helikopter. Kenderaan juga boleh disesuaikan untuk menampung pelbagai peralatan yang ditentukan pengguna.

Bagi keselamatan tambahan, kenderaan ini juga boleh dilengkapkan dengan perlindungan balistik dan impak letupan.

Tahun lalu, ATM juga telah menguji kenderaan perisai Pars 4x4 buatan firma FNSS Turkiye yang dikatakan sebagai calon untuk menggantikan kenderaan Radpanzer Condor.

Dengan kemampuan yang lincah, Pars 4x4 juga boleh menjadi kenderaan perisai peninjau dan ini  antara ciri yang diinginkan ATM.

Keperluan bagi kenderaan perisai peninjau untuk Tentera Darat memang ada memandangkan ia tidak mempunyai aset ini setelah khidmat Ferret Scout Car ditamatkan 20 tahun lalu.

Fungsi kenderaan peninjau ini adalah sebagai mata dan telinga pasukan armor selain dijadikan kenderaan perisai pengiring.

Satu lagi calonnya adalah kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).

Tarantula HMAV 4x4 menggunakan kemahiran anak tempatan ini telah pun menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi ATM dan standard antarabangsa. - DagangNews.com