KUALA LUMPUR 14 Julai - Atrium Real Estate Investment Trust (REIT) bercadang untuk mengumpul RM85.3 juta melalui penempatan persendirian dan pengeluaran khas unit untuk membiayai inisiatif peningkatan aset (AEI) bagi hartanah perindustrian Atrium Shah Alam 4.
Mercury Securities Sdn. Bhd. berkata, syarikat itu perlu menunggu maklumat mengenai terma penyewaan untuk Atrium Shah Alam 4 sebelum mencadangkan penempatan persendirian dan pengeluaran khas unit itu.
Katanya, penempatan persendirian dan terbitan khas unit itu dijangka mencairkan pendapatan seunit (EPU) dan dividen seunit (DPU) Atrium REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Cadangan penempatan persendirian Atrium REIT adalah sehingga 40,925,136 unit manakala terbitan khas yang dicadangkan adalah sehingga 20 juta unit kepada Chan Kam Tuck iaitu pemegang unit utama Atrium REIT dan orang yang berkaitan dengannya.
Firma itu berkata, cadangan itu boleh menyebabkan modal unit terbitan diperbesarkan yang terdiri daripada 265.55 juta unit.
Katanya, berdasarkan harga terbitan indikatif RM1.40 seunit, cadangan itu dijangka meningkatkan hasil kasar kira-kira RM85.3 juta.
"Jumlah sebenar kutipan kasar yang akan dikumpul daripada cadangan itu bergantung pada harga terbitan sebenar dan bilangan unit yang akan dikeluarkan akan ditentukan oleh syarikat kemudiannya," katanya.
Mercury Research berkata, Atrium REIT merancang untuk menggunakan RM81 juta daripada hasil kasar untuk melaksanakan AEI ke atas hartanah Atrium Shah Alam 4.
Katanya, syarikat itu juga merancang menggunakan RM3.1 juta daripada hasil kasar untuk tujuan modal kerja dan RM1.2 juta untuk anggaran perbelanjaan berhubung cadangan tersebut.
"Atrium REIT akan membiayai sebarang kekurangan yang diperlukan untuk membiayai AEI melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank," katanya. - DagangNews.com