Syarikat insurans setuju laksanakan kenaikan harga kad perubatan secara berperingkat susulan arahan BNM | DagangNews Skip to main content

Syarikat insurans setuju laksanakan kenaikan harga kad perubatan secara berperingkat susulan arahan BNM

Gambar Online Marketing/ Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Nov - Syarikat insurans setuju melaksanakan pelarasan harga secara berperingkat dan menawarkan pelan pembayaran fleksibel bagi premium insurans perubatan susulan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengkaji semula perkara tersebut.

 

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, mereka juga akan menubuhkan talian hotline khusus untuk setiap syarikat dan program bantuan bagi memastikan kemudahan akses kepada pemegang polisi.

 

"Ini termasuk menawarkan pelan pembayaran premium/sumbangan fleksibel kepada pemegang polisi yang terjejas serta menawarkan pilihan untuk pelan perlindungan yang lebih rendah premium/sumbangannya," jelas persatuan-persatuan itu dalam satu kenyataan bersama, semalam. 

 

Ketiga-tiga persatuan turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan mekanisme pembetulan yang berkesan, termasuk saluran komunikasi khusus untuk pelanggan yang terjejas.

 

"Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah ini akan diumumkan tidak lama lagi. Kami bimbang, sesetengah pemegang polisi mungkin sukar mengekalkan perlindungan mereka, terutamanya golongan warga emas.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencari penyelesaian bagi mengawal inflasi tuntutan," tambah kenyataan itu.

 

Jelas kenyataan tersebut, sepanjang tempoh 2021 hingga 2023, industri insurans dan takaful mengalami kadar inflasi kos tuntutan perubatan yang luar biasa sebanyak 56 peratus.

 

Katanya, keadaan itu disebabkan pelbagai faktor seperti peningkatan kos rawatan perubatan, teknologi penjagaan kesihatan canggih dan peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

 

"Pelarasan harga premium dan sumbangan tidak dapat dielakkan. Selain inflasi, jumlah pelarasan harga juga dipengaruhi oleh faktor seperti penilaian risiko individu, pengumpulan risiko, manfaat dan ciri produk serta jangkaan pembayaran tuntutan," jelas mereka.

 

LIAM, MTA dan PIAM berkata, walaupun syarikat insurans dan pengendali takaful mempunyai kitaran pelarasan harga yang berbeza, mereka biasanya mengkaji semula dan menyesuaikan premium setiap tiga tahun untuk memastikan kelestarian pelan insurans perubatan.

 

Industri itu menyambut baik penubuhan unit kawalan kos oleh APHM untuk menguruskan kos penjagaan kesihatan dan percaya bahawa pengenalan pilihan bayaran bersama pada September lalu menawarkan penyelesaian jangka panjang untuk membantu pemegang polisi menguruskan polisi mereka. - DagangNews.com