KUALA LUMPUR 13 Jan - Amanah Pelaburan Hartanah Al-Salam (Al-Salam REIT) berpotensi mencatatkan pertumbuhan sewa ketara mulai tahun ini hasil daripada kadar penghunian yang lebih tinggi di hartanahnya paling berharga iaitu Komtar JBCC di Johor Baharu.
BIMB Securities berkata, hartanah yang membentuk satu pertiga daripada jumlah nilai hartanah kumpulan itu akan menyaksikan peningkatan kadar penghunian kepada 80% menjelang akhir tahun ini berbanding 69% ketika ini.
"Kami menjangkakan peningkatan hasil yang konsisten pada masa hadapan, disokong oleh kenaikan kadar sewa.
“Kami percaya REIT bersedia untuk penarafan semula selanjutnya, didorong pemulihan kadar sewa daripada asas aset terpelbagainya, khususnya di Johor Bahru," katanya dalam satu nota kajian.
Saham Al-Salam di Bursa Malaysia jatuh lebih 20% tahun lepas di tengah-tengah kemerosotan dalam keuntungan bersih walaupun pendapatan hartanah bersih menigkat lebih tinggi. Kos pembiayaan Islam yang lebih tinggi dan perbelanjaan amanah lain diambil kira pada pendapatan bersih.
BIMB Securities menjangkakan hasil pulih ke tahap pra pandemik pada 2026. Kadar sewa purata di Komtar JBCC diangka naik sekali ganda selepas Sistem Transit Pantas Johor Bahru-Singapura (RTS-Link) mula beroperasi.
Katanya, hartanah itu akan disambungkan melalui jambatan pejalan kaki ke Stesen Bukit Chagar, yang berpotensi menggandakan jumlah pengunjung pusat membeli-belah itu kepada kira-kira 1.7 juta pada 2027.
"Jangkaan lonjakan dalam trafik pejalan kaki ini dijangka meningkatkan jualan runcit dengan ketara dan mengukuhkan peranan Komtar JBCC sebagai pusat pertumbuhan runcit dan ekonomi Johor Bahru,” katanya.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan dengan saranan "beli"pada harga sasaran (TP) 46 sen sesaham.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) sebelum ini merupakan satu-satunya syarikat penyelidikan lain yang membuat liputan terhadap Al-Salam.
Pada November 2024, firma penyelidikan itu menurunkan penarafan REIT kepada "jual" berikutan keputusan suku tahun yang lebih lemah daripada jangkaan.- DagangNews.com