Anak TPM, Nurul Hidayah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UPM | DagangNews Skip to main content

Anak TPM, Nurul Hidayah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UPM

KUALA LUMPUR 13 Jan - Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah, dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Tempoh pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 2 Januari 2025 dan akan berakhir pada 1 Januari 2028.

 

"Pelantikan Nurul Hidayah dibuat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman beliau selaras dengan subseksyen 18(1) Perlembagaan UPM," jelas satu surat bertarikh 2 Januari 2025 yang dilihat oleh The Star.

 

Surat tersebut ditandatangi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

 

Menerusi surat itu, UPM turut merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas pelantikan tersebut dan berharap ia dapat membawa UPM ke tahap kecemerlangan akademik yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, Nurul Hidayah dalam perkongsian terbaharu di Instagramnya, mengesahkan perkara tersebut dengan hantaran 'Bagai Sireh Pulang Ke Gagang' dan mengucapkan 'Bismillah' sebagai tanda rasa syukur dan persediaan untuk memulakan tugas.

 

Beliau turut berkongsi gambar majlis konvokesyennya di UPM pada tahun 2002.

 

Nurul Hidayah adalah bekas pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM pada tahun 1999.

 

Sebelum pelantikan itu, beliau banyak menyumbang kepada UPM melalui Pusat Perhubungan Alumni universiti tersebut. - DagangNews.com