Maxis bentuk kerjasama dengan UMT dan UTHM, sokong pembangunan bakat muda | DagangNews Skip to main content

Maxis bentuk kerjasama dengan UMT dan UTHM, sokong pembangunan bakat muda

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - Maxis menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang secara keseluruhannya melibatkan lebih 30,000 pelajar, dalam usaha membentuk bakat muda dan memacu pemerkasaan belia.

 

Majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) itu diadakan di Menara Maxis, dengan Maxis diwakili oleh Ketua Pegawai Transformasi dan Sumber Manusia, Patrick Er.

 

Turut hadir Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, bersama-sama wakil universiti dan pelajar.

 

maxis

 

Kerjasama tersebut bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran, kesediaan kerjaya dan kemahiran digital, serta memperkukuh hubungan antara industri dan akademik. 

 

Antara aspek utama kerjasama termasuk perkongsian pengetahuan daripada pemimpin dan pakar Maxis untuk memberikan pandangan dunia sebenar, peluang latihan amali di Maxis dan Program Duta Kampus Hotlink, pakej khas universiti untuk pelajar dan kakitangan dan program e-sukan di kampus serta inisiatif lain untuk menggalakkan pembangunan pelajar.

 

Patrick Er berkata, sebagai syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia, Maxis berharap untuk memanfaatkan kepakaran industri bersama kecemerlangan akademik rakan kongsi universiti. 

 

"Penglibatan kami dengan universiti membolehkan kami memberi peluang kepada bakat muda Malaysia untuk berkembang dan mencapai kejayaan profesional. 

 

"Ini sejajar dengan misi kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan kepada dunia yang penuh dengan kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dr. Mohd Zamri menyifatkan, kerjasama dengan Maxis akan membuka peluang berharga untuk memanfaatkan teknologi terkini, kepakaran dan rangkaian profesional yang ada. 

 

"Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan pencapaian akademik pelajar UMT, tetapi juga memberi mereka pendedahan yang sangat berharga kepada dunia pekerjaan sebenar serta peluang kerjaya," ujarnya.

 

Sementara itu, Dr. Abdul Rasid pula berkata, sebagai universiti teknikal, kerjasama tersebut akan memainkan peranan penting dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

 

"Ia akan membantu pelajar memperoleh kemahiran yang relevan, pendedahan industri dan kelebihan daya saing dalam landskap digital yang semakin berkembang," jelasnya.

 

Kerjasama itu merupakan lanjutan daripada hubungan yang terjalin sebelum ini antara Maxis dan kedua-dua universiti melalui pelbagai inisiatif. 

 

Di UMT, Maxis menyokong acara seperti Program Jalinan Mesra Pelajar Baharu, Liga Bola Hotlink UMT, ESG Global Young Leaders Summit dan Anugerah Ikonsiswa, manakala di UTHM, Maxis terlibat dalam Festival Konvokesyen UTHM dan Inisiatif Kad Prihatin Siswa. - DagangNews.com