KUALA LUMPUR 13 Jan - BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions menurunkan unjuran prestasi ringgit menjelang akhir 2025 pada RM4.40 setiap dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.50.
Dalam jangka sederhana, BMI berkata, ringgit diramalkan kekal pada arah aliran meningkat secara beransur-ansur berikutan prospek pertumbuhan teguh dan lebihan akaun semasa mampan.
"Risiko kepada ramalan mata wang adalah kecenderungan ke arah ringgit yang lebih lemah.
"Kadar faedah tinggi Rizab Persekutuan AS (Fed) bakal menimbulkan risiko menaik kepada pandangan kadar faedah AS.
"Ini boleh menurunkan sebanyak 75 mata asas (bps) daripada ramalan semasa kami (100bps) dan seterusnya, mengekang peningkatan nilai ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan.
BMI berkata, dari perspektif teknikal, mata wang tempatan telah susut nilai lebih 8% sejak menyentuh rintangan garis arah aliran pada RM4.10 setiap dolar AS pada awal Oktober 2024.
"Selain itu, penunjuk momentum mula menunjukkan keadaan terlebih jual, yang sepatutnya membawa kepada peningkatan jangka pendek sejajar dengan ramalan kami bagi ringgit berdagang antara sokongan garis arah aliran RM4.80 dan RM4.20 setiap dolar AS menjelang pertengahan 2025," katanya.
Sementara itu, BMI juga menjangkakan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dan memihak kepada ringgit.
Pada mesyuarat Disember 2024, Fed telah memotong 25 mata asas kepada 4.5%, sejajar dengan jangkaan dan konsensus BMI.
"Kami menjangkakan kitaran pelonggaran Fed akan terus berjalan dan kami menjangkakan kadar dana Fed mencecah 4% menjelang separuh pertama 2025.
"Sebaliknya, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menahan kadar dasar semalaman (OPR) dalam tempoh yang sama," kata BMI.
Di samping itu, BMI menjangkakan peningkatan prestasi ringgit yang lebih perlahan, firma tersebut mengunjurkan bilai mata wang tempatan mengukuh sedikit kepada RM4.30 setiap dolar AS menjelang akhir 2026.
"Pasukan AS kami telah menyemak semula unjuran kadar akhir 2025 dan 2026 kepada 3.5%, daripada 3% berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS.
"Kemenangan Trump bakal mengehadkan kenaikan ringgit tetapi faktor lain akan menyokong prestasi mata wang itu, ” katanya. - DagangNews.com