KUALA LUMPUR 13 Jan - Rakyat Malaysia optimis terhadap prospek ekonomi global pada 2025 walaupun kebimbangan mengenai peningkatan inflasi, cukai dan potensi krisis global baharu, kata kajian Ipsos.
Dalam keputusan tinjauan pendapat terbaharu firma penyelidikan pasaran itu, sebanyak 81% rakyat Malaysia ditinjau menjangkakan penambahbaikan terhadap prospek ekonomi global pada 2025 berbanding dengan jumlah direkodkan pada 2023 sebanyak 73%.
"Keputusan daripada tinjaun tersebut mewakili angka yang lebih tinggi daripada paras purata global pada 71%.
"Selain itu, 73% rakyat Malaysia mengharapkan ekonomi global yang lebih kukuh pada 2025, berbanding dengan 51% daripada purata global," menurut kajian Ipsos bertajuk “Predictions for 2025”.
Sepanjang 2024, pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari mencatatkan kemajuan ketara dalam perkembangan dan pengukuhan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), hidrogen dan mobiliti hijau di Asia Pasifik.
Walaupun 55% rakyat Malaysia melihat 2024 sebagai tahun yang sukar bagi negara, ia menunjukkan sedikit peningkatan daripada 59% pada 2023.
Kajian tersebut juga melaporkan sebanyak 65% rakyat Malaysia menganggap 2024 sebagai tahun yang mencabar.
"Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap inflasi dan cukai juga melebihi purata, dengan 76% menjangkakan negara menyaksikan inflasi yang lebih tinggi pada 2025, berbanding purata global sebanyak 70%, manakala 80% rakyat Malaysia meramalkan kadar cukai yang lebih tinggi, berbanding 74% di seluruh dunia.
"Ini menunjukkan perasaan tidak menentu tentang ekonomi dan kesihatan awam dalam kalangan rakyat," kata Ipsos.
Satu lagi kebimbangan yang menarik perhatian rakyat Malaysia ialah kemungkinan penularan wabak global baharu, dengan 68% responden menunjukkan kerisauan mengenai potensi krisis ini, melebihi purata global 47%.
Dari segi kemajuan teknologi, prospek Malaysia dilihat positif seperti kebanyakan negara Asia Tenggara, dibantu oleh peranan kecerdasan buatan (AI) dalam mewujudkan pekerjaan baharu.
Walau bagaimanapun, Ipsos berkata, sentimen sekitar AI kekal secara relatif stabil jika dibandingkan dengan 2023, mencerminkan pandangan yang berhati-hati tetapi stabil terhadap kemajuan teknologi.
"Tahun ini, 65% rakyat Malaysia melihat AI membawa kepada penciptaan pekerjaan, meningkat daripada 64% tahun lepas dan melebihi purata global sebanyak 43%.
"Keputusan ini menunjukkaan Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding Indonesia (74%) dan Thailand (71%), mendahului Singapura (57%)," katanya.
Tinjauan global itu dijalankan antara 25 Oktober 2024 sehingga 8 November 2024, dalam kalangan 23,721 orang dewasa di 33 negara.
“Melihat ke hadapan, 2025 memberikan peluang dan cabaran untuk rakyat Malaysia.
“Secara global, kemajuan teknologi dan kemampanan dijangka stabil. Walau bagaimanapun, potensi cabaran seperti ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan politik bakal muncul sebagai kekangan yang besar.
“Di peringkat tempatan, perubahan dasar seperti pelarasan subsidi bahan api juga dijangka memberi kesan kepada ekonomi negara . Rakyat Malaysia perlu kekal berdaya tahan dan menyesuaikan diri untuk mengharungi tahun yang mencabar ini,” katanya.- DagangNews.com