KUALA LUMPUR 13 Jan - Syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara, PropertyGuru Group (PropertyGuru), mengumumkan pelantikan Lewis Ng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Trevor Mather sebagai Pengerusi baharu.
PropertyGuru memaklumkan, penyandang jawatan CEO sekarang, Hari V Krishnan, akan meletak jawatan apabila Ng mengambil alih jawatan tersebut pada Mac 2025.
Hari memainkan peranan penting dalam mengubah PropertyGuru daripada sebuah syarikat pemula kepada peneraju teknologi hartanah serantau, mencatat pelbagai pencapaian penting ketika syarikat itu disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE) dan semasa pengambilalihan oleh EQT Private Capital Asia.
Menurut PropertyGuru, Ng mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor teknologi dan pernah berkhidmat di jenama-jenama global seperti Apple, TripAdvisor, Carousell serta PropertyGuru.
"Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Urusan PropertyGuru untuk Singapura dan Ketua Pegawai Perniagaan, serta memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan dan memupuk budaya yang berfokuskan pelanggan," jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ng dalam pada itu berkata, perjalanan syarikat dalam dekad yang lalu adalah luar biasa di bawah kepimpinan Hari, dan beliau teruja untuk meneruskannya.
"Saya berasa terhormat untuk memimpin PropertyGuru pada masa depan dan bekerjasama dengan pasukan-pasukan berbakat kami untuk terus memacu pertumbuhan dan memberikan nilai kepada pelanggan kami di seluruh Asia Tenggara," jelasnya.
Sementara itu, Mather memuji kedudukan PropertyGuru sebagai platform teknologi hartanah terkemuka, dengan rekod prestasi yang mengagumkan dalam memberikan nilai dan memacu pertumbuhan.
Beliau berkata, Hari telah meletakkan asas yang kukuh untuk kumpulan. - DagangNews.com