KUALA LUMPUR 13 Jan - Harga minyak sawit mentah(MSM) diunjur kekal tinggi pada separuh pertama 2025, dengan dagangan antara RM4,400 hingga RM4,800 satu tan, sebelum menyederhana pada separuh kedua kepada antara RM4,000 hinggaRM4,400 satu tan ketika kemuncak musim, kata penganalisis.
RHB Investment berkata, unjuran itu disokong gabungan faktor iaitu paras pengeluaran dan stok yang rendah di Indonesia tahun lepas, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia tahun ini, serta bekalan minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi yang terhad pada tahun ini.
“Ini akan menyebabkan kekurangan minyak dan lelemak global yang lebih ketara tahun ini seterusnya menyebabkan harga minyak sayuran menjadi lebih tinggi, dengan nisbah stok berbanding penggunaan bagi 17 minyak dan lelemak susut kepada paras terendah dalam tempoh 15 tahun iaitu 12.6% pada 2025,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, risiko negatif yang utama meliputi ketegangan geopolitik yang berterusan, perubahan ketara harga minyak mentah, cuaca yang janggal, situasi pekerja yang semakin buruk di Malaysia, dan kemungkinan semakan ke atas struktur cukai dan dasar perdagangan Indonesia.
RHB Investment mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor perladangan, memandangkan harga MSM yang lebih tinggi dan berterusan pada 2025 dijangka mendorong semakan penilaian sektor tersebut.
Sementara itu, Kenanga Research dan CIMB Securities juga mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor itu.
Saranan Kenanga Research adalah berdasarkan unjuran harga MSM yang tinggi serta defisit bekalan semakin lebar.
Menurut firma penyelidikan itu, premium harga MSM berbanding minyak kacang soya mula mengecil baru-baru ini.
“Bagaimanapun, harga minyak makan keseluruhannya termasuk MSM dijangka kekal tinggi pada 2025.
"Setelah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan pada November 2024, indeks harga minyak makan 2024 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) meningkat sebanyak 33% tahun ke tahun, walaupun terdapat sedikit penurunan bulan ke bulan,” katanya.
Daripada empat minyak makan utama iaitu minyak sawit, minyak kacang soya, minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari, minyak sawit kekal sebagai peneraju harga.
Sementara itu, CIMB Securities pula mengunjurkan bekalan minyak sawit meningkat 1% bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan pada Januari 2025, didorong oleh penggunaan domestik dan eksport yang rendah.
“Pengeluaran MSM dijangka berkurang 8% bulan ke bulan kepada 1.37 juta tan disebabkan faktor musim,” jelasnya.
Eksport minyak sawit juga dijangka turun sebanyak 16% bulan ke bulan kepada 1.13 juta tan, kerana premium harga MSM yang tinggi berbanding minyak kacang soya dan minyak biji sesawi mendorong pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah, jelasnya.
Harga minyak kacang soya diunjurkan kekal lemah berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan langkah pengurangan dalam dasar biodiesel AS.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM4,200 satu tan bagi 2025. - DagangNews.com