KUALA LUMPUR 13 Jan - Kenanga Research menurunkan unjuran purata nilai harian (ADV) Bursa Malaysia pada 2025 daripada RM3.6 bilion kepada RM3.3 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut berdasarkan trend pengembalian pelabur asing kepada pasaran Amerika Syarikat berikutan kemenangan Presiden Donald Trump pada suku terakhir 2024.
Selain itu, Kenanga mengunjurkan pendapatan FY25F menurun 3% mencermin penguncupan ADV.
"ADV sebanyak RM2.55 bilion pada suku keempat adalah jauh lebih rendah daripada jangkaan RM3.8 bilion.
"Kekurangan ini membawa kepada jumlah ADV yang lebih rendah untuk sepanjang tahun berjumlah RM3.16 bilion dan bukannya RM3.47 bilion yang kami unjurkan.
"Oleh itu, kami mengunjurkan pendapatan Bursa Malaysia pada 4QFY24 dalam ulat antara RM65 juta sehingga RM75 juta, menjumlah hasil tahunan sebanyak RM311 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Mengulas tentang prospek pendapatan FY25F Bursa Malaysia, Kenanga meramalkan hasilnya disokong oleh pembayaran yuran lebih tinggi yang membentuk 20% daripada jumlah hasil daripada unjuran saluran paip IPO bagi 50 penyenaraian dan prestasi derivatif yang lebih baik.
"Kami mengekalakan saranan "outperform" dengan menurunkan harga sasaran (TP) daripada RM10 kepada RM9.70 sesaham, berikutan pelarasan pendapatan kami berdasarkan PER 25x tidak berubah pada FY25F EPS sebanyak 38.9 sen," katanya.
Kenanga juga menjangkakan pasaran tempatan akan memanfaatkan daripada saham Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), saham pembinaan pusat data dan pengeksport yang boleh mendapat keuntungan daripada kelemahan ringgit.
"Di samping itu, kami menyukai Bursa Malaysia sebagai proksi untuk penyertaan dalam bursa saham tempatan kami, peningkatan Pulangan Ekuiti (ROE) dalam kitaran naik pasaran kerana struktur kosnya yang cekap.
“Dengan rizab tunai bersih yang besar berjumlah RM436 juta, Bursa Malaysia dijangka terus berkembang sehingga FY25, kami menjangkakan dividen khas mungkin akan menyusul, seperti yang dilihat dengan pembayaran terakhir sebanyak 8 sen pada 4QFY20.
"Risiko kepada tinjauan kami termasuk volum dagangan yang lebih rendah daripada jangkaan dalam pasaran sekuriti dan derivatif, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan tawaran awam permulaan yang lebih sedikit," katanya. - DagangNews.com