KUALA LUMPUR 23 Sept - PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini memperkenalkan SUV super Audi RS Q8 yang penuh berkuasa ke dalam rangkaian model tawarannya.
Menjadi SUV saiz penuh Audi pertama menggunakan lencana RS, RS Q8 melangkaui sempadan prestasi dalam kelasnya.
Tampil luar biasa pintar dan original, RS Q8 mengetengahkan ciri-ciri termaju Audi yang menggabungkan fleksibiliti mengagumkan serta kegunaan harian untuk mendefinisikan semula genre kenderaan berprestasi tinggi tradisional.
Antara spesifikasi teknikal yang impresif ialah suspensi udara adaptif khusus untuk RS, stereng semua roda, sport differential dan sistem keselamatan olengan aktif.
Dari sudut enjin pula, ia mampu menjana kuasa sehingga 600PS dan tork 800Nm di antara 2,200 dan 4,500rpm. Enjin 4.0 liter biturbo V8 TFSI membolehkan RS Q8 memecut 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat, angka yang meletakkannya setara dengan kereta-kereta sports lain. Ia juga berupaya mencapai pecutan tertinggi 305km/j.
Turutan pencucuhan 1-3-7-2-6-5-4-8 menjamin janaan bunyi yang mengasyikkan, ditambah dengan sistem ekzos sport bersama kemasan hujung paip ekzos berwarna hitam. Pemandu juga boleh menukar bunyi enjin melalui sistem Audi drive select.
Kuasa enjin V8 TFSI disalurkan ke sistem pacuan semua roda sepenuh masa quattro menerusi kotak gear lapan kelajuan standard. Kawalan tork roda terpilih (wheel-selective torque control) menyempurnakan lagi aspek keselamatan dan pengendalian lincah RS Q8.
Ketika mengambil selekoh, ciri quattro sport differential yang dipasang sebagai standard berfungsi mengagihkan kuasa tork di antara roda belakang jika diperlukan. Sistem active torque vectoring ini menambah baik aspek cengkaman, kestabilan dan dinamik.
Selain itu, sistem suspensi udara adaptif sport khusus untuk RS dengan kawalan redaman bermaksud RS mampu menawarkan prestasi yang sama di litar lumba atau laluan off-road.
Audi RS Q8 didatangkan dalam sembilan pilihan warna, satu kemasan cat solid dan lapan warna metalik atau efek mutiara, bersama perumah cermin sisi karbon dan 11 warna Audi Exclusive.
Audi RS Q8 ditawarkan pada harga bermula RM1,699,990, dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, di samping jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. Tempahan boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru. - DagangNews.com