AVPN, Yayasan Hasanah anjur persidangan pelaburan sosial terbesar Asia mulai 20 hingga 22 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

AVPN, Yayasan Hasanah anjur persidangan pelaburan sosial terbesar Asia mulai 20 hingga 22 Jun 2023

Datuk Shahira Ahmed Bazari (kiri) dan Naina Subberwal Batra ketika sidang media penganjuran Persidangan Global Tahunan AVPN 2023, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Rangkaian terbesar pelabur sosial di Asia, AVPN mengumumkan penganjuran Persidangan Global Tahunan AVPN 2023 yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2023 di ibu negara.

 

Persidangan dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu merupakan persidangan pelaburan sosial terbesar di Asia yang menghimpunkan para pelabur global dan Asia, pemberi dana, dermawan serta pembuat dasar, menjadikan ia kali pertama diadakan di Malaysia.

 

Ia juga akan menekankan kepemimpinan Asia dalam menangani isu-isu mendesak dalam aspek gender, iklim, penjagaan kesihatan, dan sara hidup melalui kerjasama dan pemilikan bersama komuniti.

 

Pada masa sama, turut berlangsung serentak adalah The Hasanah Forum (THF), forum impak sosial pertama di Malaysia yang dianjurkan Yayasan Hasanah. 

 

Pada tahun ini, bertemakan 'Fostering Justice-Based Philanthropy: Shifting the Narrative to Action', edisi kedua THF ini akan memperkukuh initipati dialog sebelum ini untuk mendorong tindakan di dunia sebenar.

 

Ketua Eksekutif AVPN, Naina Subberwal Batra berkata, terdapat keperluan mendesak untuk bersama menangani keperluan kritikal dan isu-isu yang menekan di rantau ini. 

 

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperjuangkan semangat kerjasama serta model pendekatan Asia yang berkesan dalam mendorong impak sosial. 

 

 

avpn
                             Naina Subberwal Batra

 

 

"Justeru, persidangan ini adalah tempat terbaik untuk menyaksikan terbentuknya kerjasama baharu, inovasi dalam pembiayaan pemangkin, dan hasilnya, pelaburan modal lebih besar ke arah impak di rantau kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari pula berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan rangkaian pelabur sosial seperti AVPN, yang mempunyai jangkauan global dan fokus impak di Asia. 

 

Katanya, mereka berharap dapat memberikan pemahaman lebih mendalam kepada wakil delegasi global dan serantau tentang konteks pelaburan sosial di Malaysia, berlatarbelakangkan rantau Asia yang lebih meluas.

 

 

hasanah
                             Datuk Shahira Ahmed Bazari

 

 

"Memainkan peranan sebagai penghubung, rakan kerjasama dan pemangkin perubahan dalam sektor impak sosial, kami merasakan ia menjadi tanggungjawab kami untuk menyampaikan perbincangan terkini dalam ruang ini ke Malaysia," katanya.

 

Oleh itu katanya, membawakan persidangan ini ke tanah air adalah langkah terbaik," katanya.

 

Berlangsung selama tiga hari, persidangan global itu dijangka mengalu-alukan lebih daripada 1,000 peserta dari lebih dari 40 pasaran untuk berkumpul dan menjalinkan hubungan melalui pelbagai sesi sidang utama dan sesi perkongsian, pameran impak secara langsung, bengkel dan 'masterclass', serta pelbagai aktiviti lain. - DagangNews.com