Awantec, ESG Malaysia sedia platform pembelajaran dipacu AI tingkatkan kemahiran profesional kelestarian | DagangNews Skip to main content

Awantec, ESG Malaysia sedia platform pembelajaran dipacu AI tingkatkan kemahiran profesional kelestarian

Azlan Zainal Abidin (tengah) bersama wakil dari Awantec dan ESG Malaysia
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) melalui anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB) telah menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Malaysia (ESG Malaysia) bagi menyediakan platform pembelajaran dipacu kecerdasan buatan (AI).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Awantec mejelaskan bahawa ia akan melengkapkan profesional kelestarian dengan pengetahuan dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pelbagai rumusan latihan yang menyeluruh, yang bukan sahaja sangat relevan tetapi juga di barisan hadapan inovasi melalui kerjasamanya dengan Skillsoft.

 

Platform dipacu AI ini menawarkan pelbagai latihan, termasuk kandungan ESG yang boleh ditemui dalam lebih 1,000 topik pematuhan yang berkaitan.

 

“Di bawah rangka kerja kerjasama ini, ESG Malaysia komited untuk memperluaskan jangkauan kandungan ESG dan kursus latihan melalui platform Skillsoft Percipio dipacu AI yang ditawarkan oleh Awantec dikenali sebagai ESG Digital Academy.

 

“Platform ini membolehkan organisasi tersebut mengenal pasti dan mengukur kecekapan kemahiran tenaga kerja mereka sambil memperkasakan mereka untuk kekal berdaya saing dan relevan,” jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata kerjasama strategik dengan ESG Malaysia adalah tepat pada masanya, berlaku dalam era di mana kelestarian, etika, dan tadbir urus korporat telah menjadi aspek penting dalam menilai petunjuk prestasi bukan kewangan dan seterusnya, kesihatan keseluruhan dan jangka hayat perniagaan.

 

“Kerjasama kami dengan Skillsoft telah memanfaatkan rangkaian produk dan rumusan untuk menghasilkan platform pembelajaran digital yang boleh diakses, berpatutan dan mesra pengguna,” katanya.

 

Menurut Awantec, usaha bersepadu ESG Malaysia menyasarkan khalayak yang luas, merangkumi kedua-dua sektor awam dan swasta.

 

Kerjasama strategik ini bermatlamat menjadikan kandungan ESG canggih lebih mudah diakses dan berpatutan untuk pelbagai pelajar dan organisasi, terutamanya pengamal alam sekitar dan mampan yang ingin meningkatkan pengetahuan mereka tentang pelaporan kelestarian, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, serta pengangkutan mampan, antara lain.  - DagangNews.com