Awantec, GA Business Academy jalin kerjasama perkasa usahawan Sabah menerusi pendedahan terhadap platform AI | DagangNews Skip to main content

Awantec, GA Business Academy jalin kerjasama perkasa usahawan Sabah menerusi pendedahan terhadap platform AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) menerusi  Awantec Systems Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan GA Business Academy Sdn. Bhd. bagi memberikan pendedahan kepada usahawan Sabah kepada platform kecerdasan buatan yang direka bagi memperkasakan mereka dengan teknologi termaju.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, platform inovatif itu bertujuan memastikan usahawan kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi, melengkapkan mereka dengan alatan dan kemahiran terkini yang penting untuk pertumbuhan perniagaan.

 

Selain itu, mereka juga menyediakan rumusan yang berkesan bagi perancangan perniagaan, penyelesaian akaun, cukai, kewangan, teknologi maklumat (IT) dan pengurusan prestasi bagi usahawan di negeri itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata, permintaan semakin meningkat untuk kepakaran dalam domain kritikal seperti Internet of Things (IoT), pembangunan perisian, pengkomputeran awan, AI, teknologi blockchain, robotik, migrasi projek dan pengurusan perubahan adalah hasil langsung daripada ekonomi digital yang sedang berkembang.

 

Katanya, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu adalah tepat pada masanya dan ia bersedia untuk menangani keperluan itu secara menyeluruh.

 

"Menerusi kerjasama ini, organisasi kami menyasarkan untuk memperkasakan perusahaan dan perniagaan dengan membuka potensi mereka melalui pembangunan kemahiran lanjutan.

 

"Kerjasama strategik ini membolehkan Awantec mengembangkan jejak kami yang sedia ada di Malaysia Timur, dengan fokus kepada pasaran Sabah yang sedang berkembang," katanya. - DagangNews.com