AWC terima subkontrak bernilai RM17.8 juta daripada IJM bagi kerja-kerja paip di Hospital Kapar | DagangNews Skip to main content

AWC terima subkontrak bernilai RM17.8 juta daripada IJM bagi kerja-kerja paip di Hospital Kapar

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - AWC Berhad menerusi anak syarikatnya, Qudotech Sdn. Bhd. menerima subkontrak bernilai RM17.8 juta daripada IJM bagi kerja-kerja sistem perpaipan di Hospital Kapar, Selangor.

 

Kumpulan itu berkata, kerja-kerja itu bermula pada 22 Mac 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 22 Mei 2026

 

"Jumlah keseluruhan kontrak bagi kerja sub-kontrak hendaklah pada harga tetap sekaligus sebanyak RM17,800,000.00," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

kapar
IJM meraih kontrak membina Hospital Kapar yang mempunyai 312 katil dan dijangka siap pada November 2026./Gambar IJM

 

Menurut pemakluman itu, kerja-kerja tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak itu.

 

Kata AWC lagi, subkontrak tersebut adalah perkara biasa di dalam perniagaan Qudotech.

 

"Potensi risiko yang terlibat dalam kerja-kerja itu ini dianggap sebagai risiko operasi biasa dan adalah sama dengan mana-mana kerja lain yang seumpama itu.

 

"Tiada pengarah, pemegang saham utama kumpulan dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu," katanya.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, AWC memaklumkan Qudotech juga menerima Surat Anugerah daripada We Progress Centre Engineering Sdn Bhd (PCE) untuk kerja-kerja paip di Pusat Data Vantage KUL14, Cyberjaya.

 

"Jumlah kontrak adalah sebanyak RM1.59 juta. Kontrak itu dijadualkan siap pada 17 Februari 2025," jelasnya.

 

Kata AWC, kontrak baharu ini menambah kepada buku pesanan sebanyak RM142.2 juta yang direkodkan sehingga 31 Disember 2023. 

 

"Ini menjadikan buku pesanan tertunggak kepada sekitar RM800 juta. Buku tender Kumpulan kekal sihat, melebihi RM1.2 bilion di semua bahagian perniagaan," ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden Kumpulan AWC, Datuk Ahmad Kabeer berkata, walaupun saiz dua kontrak ini bukan yang terbesar namun kepentingannya terletak pada skop kerja khusus yang mampu disediakan untuk segmen penjagaan kesihatan dan pusat data.

 

"Melangkah ke hadapan, kami melihat peluang besar dalam segmen ini dan mempunyai keyakinan penuh bahawa dengan rekod prestasi kami yang mengagumkan, kami akan mendapat manfaat daripada lebih banyak aliran kerja sedemikian pada bulan-bulan mendatang," katanya.- DagangNews.com