Axiata Digital-CGC meterai MoU jaminan bank digital | DagangNews Skip to main content

Axiata Digital-CGC meterai MoU jaminan bank digital

DARI kiri atas, Mohd Zamree. Mohd Ishak, Mohd Khairil Abdullah, serta dari kiri bawah, Leong Weng Choong dan Sheyantha Abeykoon dalam majlis menandatangani MoU secara maya hari ini.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA  LUMPUR 28 Jun - Boost Holdings Sdn. Bhd. (Boost Holdings) menerusi anak syarikatnya, Axiata Digital Capital Sdn. Bhd. (Aspirasi), menjadi pemohon lesen perbankan digital pertama yang bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk jaminan bank digital yang berpotensi. 

 

Dalam kenyataan bersama, Aspirasi dan CGC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mempercepatkan inklusiviti bagi segmen tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital merangkap Pengerusi Boost Holdings, Mohd Khairil Abdullah berkata, MoU dengan CGC hari ini akan memperkukuhkan kemampuan mereka dalam memenuhi keperluan kewangan bagi segmen berkenaan.

 

“Sejak beberapa tahun ini, pendekatan kami yang tertumpu kepada pendigitalan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin telah membolehkan kami memberikan solusi yang relevan bagi menyelesaikan masalah- masalah yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

“Kami telah membina rekod prestasi yang memuaskan dalam membantu mereka yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan kami merupakan satu-satunya kemudahan yang tersedia untuk PMKS tanpa laporan kredit dan sumber data tradisional.

 

“Ini adalah segmen-segmen yang paling menerima manfaat dari jaminan CGC, memungkinkan mereka memperolehi akses pembiayaan transformatif yang lebih luas dan berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sebagai rekod, Aspirasi merupakan penyedia pembiayaan mikro dan insurans mikro digital sepenuhnya bagi membantu serta memperkasakan PKMS di rantau ini.

 

MoU berkenaan merangkumi dua bahagian utama iaitu pertama, komitmen untuk menerokai lanjutan Jaminan Portfolio bagi pembiayaan Digital Bank yang tertumpu kepada PKS pada masa depan. 

 

Kedua, kolaborasi di antara Aspirasi dan CGC dengan merujuk kepada penyediaan pembiayaan untuk PMKS yang layak tanpa jaminan. 

 

Sehubungan itu, CGC akan turut memasukkan Aspirasi ke dalam imSME, sebuah platform rujukan dalam talian yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan pembiayaan untuk PMKS.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon berkata, CGC dan Boost Holdings berkongsi aspirasi yang sama untuk mempromosikan inklusiviti kewangan PMKS bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan perniagaan mereka. 

 

Ujar beliau, MoU ini melengkapkan inisiatif mereka yang sedia ada dalam membiayai usahawan mikro dan perniagaan yang tidak mempunyai akses terhadap kaedah tradisional melalui solusi digital yang mudah dan senang yang terdapat pada telefon pintar mereka. 

 

Sementara, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak pula mendedahkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemohon lesen perbankan digital dan berharap dapat bekerjasama dengan bank digital setelah mereka mula beroperasi. 

 

“MoU ini menandakan komitmen untuk terus mempromosikan agenda inklusiviti kewangan. CGC optimis untuk memuktamadkan perbincangan berkenaan Skim Jaminan Portfolio dengan Axiata Digital untuk produk Aspirasinya. 

 

“Kami juga gembira merangkumi Aspirasi pada imSME (platform rujukan talian pembiayaan/pinjaman dalam talian yang pertama di Malaysia), yang akan meningkatkan penawaran produk imSME,” katanya.

 

Pada suku pertama 2021 (1Q21) sahaja Aspirasi telah membiayai 1,907 peniaga dan mengeluarkan 13,721 pinjaman berjumlah RM134.43 juta. 

 

Jaminan portfolio CGC dan sokongan imSME akan membolehkan pasaran besar pelanggan yang tidak mempunyai dan tiada perkhidmatan besar turut mendapat kemudahan Aspirasi dan Boost Holdings. - DagangNews.com