Axiata Group lengkapkan pengambilalihan syarikat telekomunikasi India, Airtel Lanka | DagangNews Skip to main content

Axiata Group lengkapkan pengambilalihan syarikat telekomunikasi India, Airtel Lanka

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Axiata Group Bhd menerusi unitnya, Dialog telah menyelesaikan pengambilalihan Airtel Lanka iaitu anak syarikat milik penuh Bharti Airtel India.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Airtel Lanka kini merupakan unit milik penuh Dialog dan telah diperoleh dengan menerbitkan 952.7 juta saham yang mewakili 10.355% saham terbitan Dialog yang diperbesarkan kepada Bharti Airtel.

 

Katanya, pemerolehan itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai antara Axiata, Dialog dab Bharti Airtel pada April bagi menggabungkan operasi mereka di Sri Lanka.

 

"Penggabungan ini akan membolehkan entiti yang digabungkan itu memperoleh skala ekonomi dan mengurangkan pertindihan infrastruktur.

 

"Pada masa sama ia akan mencapai sinergi dalam teknologi serta perbelanjaan modal yang membawa kepada ketersambungan jalur lebar berkelajuan tinggi yang dipertingkatkan, perkhidmatan suara dan nilai tambah, penjimatan kos selain kecekapan operasi,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

 

Bagaimanapun, penganalisis membangkitkan kebimbangan mengenai penggabungan itu kerana Airtel Lanka melaporkan kerugian bersih sebanyak RM245.4 juta bagi tahun kewangannya 2023.

 

"Oleh itu, pendapatan Dialog terdedah kepada turun naik sekiranya prestasi pendapatan Airtel kurang daripada jangkaa," kata TA Secuties.

 

Kenanga Research berkata, kesan pendapatan daripada Airtel Lanka mungkin tidak kekal lama dan penggabungan itu akan membolehkan Dialog Axiata menyatukan bahagian pasaran utamanya di Sri Lanka.

 

Dialog Axiata merupakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar di Sri Lanka dengan lebih daripada 17 juta pelanggan, manakala Airtel mempunyai kira-kira lima juta pelanggan. - DagangNews.com