Axiata, Sinar Mas mahu gabung operasi telekomunikasi di Indonesia? | DagangNews Skip to main content

Axiata, Sinar Mas mahu gabung operasi telekomunikasi di Indonesia?

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Salah satu syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia, Axiata Group Berhad dan konglomerat dari Indonesia, Sinar Mas Group dikatakan sedang meneroka beberapa peluang kerjasama.

 

Ini termasuk potensi gabungan operasi telekomunikasi mereka di Indonesia, menurut sumber seperti dilaporkan Bloomberg

 

Mereka didakwa sedang meneroka perjanjian untuk berkongsikan rangkaian PT XL Axiata dan PT Smartfren Telecom, yang masing-masing dikuasai oleh Axiata serta Sinar Mas. 

 

Susulan daripada perkembangan tersebut juga, harga saham XL Axiata melonjak sebanyak 4.5% sekali gus menjadikan nilai pasaran kumpulan kira-kira Rp32 trilion atau sekitar RM9.41 bilion.

 

Sementara, saham Smartfren pula menokok 8% menjadikan permodalan pasarannya mencecah sekitar Rp33 trilion atau kira-kira RM9.7 bilion.

 

“Smartfren terbuka untuk menggabungkan atau bekerjasama dengan pemain industri lain bagi memastikan kecekapan operasi. 

 

“Namun, semua pihak perlu menerima manfaat sama,” kata Pengarah Urusan Smartfren, Merza Fachys kepada Bloomberg News.

 

Bagaimanapaun, perbincangan itu dikatakan masih lagi berjalan dan tiada kepastian sama ada cadangan penggabungan tersebut akan diteruskan. 

 

Baca : Axiata-Telenor meterai perjanjian bentuk Celcom Digi Berhad bernilai RM50 bilion

 

Sebelum ini, Axiata juga pernah menerima cadangan daripada CK Hutchison Holdings Ltd, iaitu sebuah konglomerat dari Hong Kong bagi penggabungan telekomunikasi mereka. 

 

XL Axiata yang menyaksikan 66% kepentingannya dipegang oleh Axiata mempunyai 56.8 juta pelanggan setakat 30 Jun. - DagangNews.com