KUALA LUMPUR 11 April – Pemegang amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Berhad memeterai perjanjian jual beli untuk memperoleh kemudahan gudang logistik seluas 1,548,982 kaki persegi di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor daripada Equalbase PTP Sdn. Bhd. (EPSB) yang dahulunya dikenali sebagai PALI PTP Sdn. Bhd., bernilai RM390.0 juta.
Setelah selesai cadangan pengambilalihan - yang dijangka menjelang pertengahan 2022, hartanah tersebut akan dipajak semula kepada EPSB untuk tempoh tetap selama 10 tahun.
Sewaan bulanan permulaan ialah RM2.17 juta untuk tiga tahun pertama dengan pelarasan menaik seterusnya pada permulaan tahun 4 hingga tahun 10.
EPSB ialah anak syarikat Equalbase Pte. Ltd. Singapura dan sedang menjalankan perniagaan pembangunan dan pemajakan gudang kepada pelanggannya.
Kemudahan itu menempatkan pelanggan EPSB yang merangkumi dua syarikat automotif berbilang negara, iaitu Al Futtaim RDC Malaysia Sdn Bhd dan Kuehne + Nagel Sdn Bhd.
Hartanah itu, yang baharu dibina kira-kira 3 tahun lalu, terletak di atas tanah pajakan seluas 18.4 ekar. Ia terdiri daripada gudang dua tingkat merangkumi pejabat 3 tingkat, tempat letak kereta berbumbung dan pejabat berserta bangunan sampingan.
Hartanah ini sangat sesuai untuk tujuan pergudangan kerana ia dilengkapi dengan 83 ruang pemuatan yang dilengkapi dengan perata dok hidraulik dan sistem pemercik tindak balas pantas awal (ESFR).
Berdasarkan laporan penilaian oleh First Pacific Valuers Property Consultants Sdn. Bhd. bertarikh 31 Mac 2022, nilai pasaran Hartanah tersebut ialah RM390.0 juta.
Hartanah ini terletak secara strategik dalam Zon Perdagangan Bebas PTP dan berdekatan dengan pusat pemeriksaan Tuas di Singapura, dan juga merupakan bangunan hijau yang diperakui oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang selaras dengan matlamat strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Axis-REIT.
Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai oleh pembiayaan bank, meningkatkan nisbah penggearan Axis-REIT kepada 37.2% daripada jumlah asetnya yang telah diaudit pada 31 Disember 2021.
Mengulas mengenai cadangan pengambilalihan itu, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad Leong Kit May berkata, cadangan pemerolehan ini akan menjadi yang terbesar setakat ini sejak penubuhan dana dan menyerlahkan hasrat Axis-REIT untuk berkembang dengan pengambilalihan hartanah berkualiti tinggi itu bagi meraih pendapatan dan memiliki nilai yang kukuh.
Hartanah tersebut adalah kemudahan logistik moden dan dilengkapi dengan baik untuk tujuan logistik, terletak di dalam kawasan PTP, sebuah pelabuhan trans-penghantaran utama Malaysia.
''Tambahan pula, hartanah itu adalah bangunan hijau yang diperakui oleh GBI dan cadangan pengambilalihan itu menandakan komitmen Axis-REIT terhadap ESG dan untuk menjana pendapatan mampan bagi Dana,” kata beliau. – DagangNews.com