Azhar letak jawatan Pengerusi FGV 1 April | DagangNews Skip to main content

Azhar letak jawatan Pengerusi FGV 1 April

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Datuk Azhar Abdul Hamid meletak jawatan sebagai Pengerusi FGV Holdings Bhd., berkuat kuasa 1 April ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, Azhar mahu meneruskan kepentingan lain setelah dilantik memegang jawatan itu sejak 2017.

    
"Semasa perubahan dalam FGV, beliau juga pernah memangku tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mulai Oktober 2018 hingga akhir Januari 2019," katanya hari ini. 

 

 

Azhar Abdul Hamid
Azhar Abdul Hamid

 

 

Azhar, 59, menjalankan tugas tersebut selepas Datuk Zakaria Arshad meletakkan jawatan pada 18 September 2018.

 

Sebelum menyertai FGV, Azhar pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan Tradewinds Corporation Berhad pada 2015 dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi pada 2016.

 

Beliau juga sebelum itu merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation Bhd. 

 

Pada 2011, Azhar menyertai Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek mengikut jadual. - DagangNews.com