Azizan Osman tetapkan 3 bulan lagi untuk sertai Lembaga Pengarah MPay | DagangNews Skip to main content

Azizan Osman tetapkan 3 bulan lagi untuk sertai Lembaga Pengarah MPay

Pengasas dan Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 31 Mei - Mentor usahawan Datuk Wira Dr. Azizan Osman menetapkan tempoh tiga bulan lagi untuk menyertai Lembaga Pengarah syarikat Managepay System Berhad (MPay).

 

"Saya ada perancangan bagi meningkatkan lagi perniagaan serta transformasi kepada syarikat, lebih-lebih lagi dalam pembangunan teknologi kewangan yang sememangnya menjadi kekuatan MPay,'' katanya kepada DagangNews di sini.

 

"Ya, dalam tiga bulan...," katanya ditanya tempoh beliau akan menganggotai Lembaga Pengarah MPay yang mana Azizan memiliki 10.58% ekuiti MPay sekali gus menjadikannya pemegang saham utama syarikat, termasuk isteri beliau, Datin Wira Hasdiana Ahmad yang memegang saham MPay secara tidak langsung sebanyak 5.35%.

 

Saham terbesar MPay dipegang oleh Datuk Chew Chee Seng selaku Pengarah Urusan dan CEO MPay dengan 21.13% kepentingan.

 

Pelaburan beliau dilakukan menerusi syarikat miliknya, RichWorks International Capital Holdings Sdn. Bhd. (RiCH), sayap pelaburan kepada RichWorks International Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan mentor usahawan dan pemasaran.

 

Kemunculan Azizan secara langsung di dalam dunia korporat pada Julai 2021, menarik perhatian pelabur dan pedagang saham yang melihatnya sebagai perkembangan positif kerana pengaruh besar Azizan.

 

Sejak 14 tahun berada di dalam industri, RichWorks berjaya membimbing perniagaan dan jenama dalam pelbagai industri merangkumi fesyen, kosmetik, kecantikan, kesihatan, pendidikan, minuman & makanan dan banyak lagi.

 

Sebelum ini bercakap kepada DagangNews mengapa belum menduduki kerusi Lembaga Pengarah MPay, Azizan berkata, beliau mahu mengambil masa untuk mendalami lebih lagi hal ehwal dunia korporat.

 

 

MPay

 

Azizan merupakan Jurulatih Bertauliah bagi Perniagaan, Pemasaran dan Kepimpinan, Mentor dan Strategis, Penulis Buku Bersiri Keusahawanan Paling Laris. 

 

Beliau adalah seorang World Class Business Educator dan Asia's No.1 Business, Marketing & Leadership Coach terkenal dengan keupayaan uniknya untuk membimbing anak muridnya menerusi syarikat yang diasaskannya, RichWorks International sehingga mendapat peningkatan luar biasa dalam perniagaan.

 

Beribu-ribu pemilik perniagaan dan usahawan telah berjaya menerusi strategi dan metodologi kejayaannya yang telah terbukti untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka dari sifar hingga mencecah jualan jutaan ringgit. - DagangNews.com