Gambar hiasan oleh Mohammad Shahhosseini
Oleh MOHD ZAILANI OTHMAN
KOMUNIKASI adalah salah satu kemahiran yang amat dititikberatkan oleh pihak majikan dan industri.
Untuk memenuhi permintaan ini, pihak universiti telah melengkapkan para graduan dengan kemahiran berkomunikasi ini dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagaimanapun, wabak COVID-19 ini telah mengubah proses pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan para pensyarah dan pelajar menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terkini.
Dengan perintah kewalan pengerakan (PKP) sebelum ini, institusi pengajian tinggi telah menerapkan norma baru secara dalam talian dan pembelajaran jarak jauh sebagai media penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang utama.
Oleh itu, amalan norma baru ini telah menimbulkan cabaran baru kepada para pelajar.
Antara cabaran utama ialah wujudnya halangan berkomunikasi di mana pelajar merasa lebih sukar untuk berkomunikasi secara berkesan dengan pensyarah dan rakan sekelas di dalam talian.
Walaupun prestasi akademik mereka bertambah baik, kesukaran berkomunikasi yang mereka hadapi selepas tamat belajar akan mempengaruhi kebolehan pasaran graduan universiti untuk mendapatkan pekerjaan.
Tambahan pula, pandemik COVID-19 telah meningkatkan kadar pengangguran dan persaingan menjadi semakin sengit untuk mendapatkan pekerjaan.
Oleh itu, pihak majikan akan mengambil graduan yang berkelayakan tinggi dengan kecekapan berkomunikasi yang sangat baik.
Kompetensi komunikasi adalah kemahiran penting pada abad ke-21 kerana melalui kemahiran ini, kemahiran lain dapat dikembangkan.
Sebagai contoh, kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran kerjasama, kemahiran kreatif hanya akan dapat disampaikan kepada orang lain hanya melalui kemahiran berkomunikasi.
Oleh sebab ini, kemahiran berkomunikasi yang berkesan ini adalah keperluan yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita.
Selain itu, kemajuan dalam maklumat dan teknologi menuntut komunikasi yang berkesan dilakukan secara dalam talian, terutama semasa pandemik COVID-19 ini.
Sehubungan dengan itu, lulusan masa depan yang memiliki kemahiran berkomunikasi yang sangat baik biasanya lebih fleksibel dan berdaya saing di mana sahaja mereka berada.
Memandangkan kemahiran berkomunikasi yang sangat baik adalah antara kualiti terpenting yang dicari oleh majikan semasa pengambilan siswazah, integrasi kemahiran berkomunikasi harus dititikberatkan oleh pensyarah dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya sewaktu kelas di dalam talian ini.
Sebilangan besar ahli akademik mendefinisikan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh sebagai pengunaan teknologi untuk belajar dan sebilangan besar pelajar menggemari pembelajaran dalam talian kerana ia menawarkan fleksibiliti, kemudahan, dan kemudahan akses.
Walau bagaimanapun, banyak kajian mendapati bahawa pelajar menghadapi masalah yang berkaitan dengan aspek komunikasi dalam talian.
Antaranya ialah pelajar sering kali merasa kesepian, tidak dapat mengungkapkan idea dan pendapat mereka kepada orang lain, penglibatan yang lemah, tidak fokus serta kekurangan interaktiviti dan isyarat bukan lisan.
Sebahagian pelajar memandang pembelajaran dalam talian dan jarak jauh sebagai tidak seronok kerana tidak dapat bersemuka dengan para pensyarah dan rakan-rakan.
Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.8 peratus pada bulan Jun 2021, melibatkan 768,700 orang seperti yang dilaporkan oleh Statistik Tenaga Kerja, Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada suku kedua 2021.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad juga mengatakan bahawa kadar pengangguran bagi golongan muda (berumur 20 hingga 24 tahun) diunjurkan meningkat kepada 25%.
Walaupun keadaan ekonomi merosot kerana wabak COVID-19, majikan sering mengaitkannya dengan graduan yang kurang mahir berbahasa Inggeris dan berkomunikasi.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Biro Statistik Tenaga Kerja Malaysia dalam Kajian Pasaran Buruhnya (LMR), Q1 2021, satu daripada kumpulan kemahiran yang paling kerap disebut dalam iklan jawatan kosong dalam talian oleh majikan adalah komunikasi.
Oleh itu, majikan sering menyebut kemahiran berkomunikasi sebagai salah satu kemahiran yang lebih kritikal yang diperlukan oleh bakal graduan.
Menteri Pengajian Tinggi juga telah membuat beberapa strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam wabak pasca-COVID-19, antaranya ialah memberi tumpuan kepada latihan kemahiran insaniah, iaitu kemahiran berkomunikasi.
Sebenarnya, pengembangan kemahiran berkomunikasi dalam diri pelajar itu adalah lebih penting dalam mempersiapkan mereka untuk prospek kerjaya masa depan memandangkan kemahiran berkomunikasi akan terus menjadi keutamaan untuk pihak majikan mengambil mereka bekerja.
Di pihak majikan juga, mereka telah mengadu tentang kekurangan kemahiran berkomunikasi di kalangan para graduan.
Mampu melakukan pembentangan dengan baik, menulis laporan secara efektif, mendengar dengan berkesan, dan menyatakan idea dan pendapat yang mudah difahami orang adalah contoh kecekapan komunikasi yang baik.
Walau bagaimanapun, melakukan semua tugas ini secara dalam talian akan menjadi cabaran yang berbeza. Memandangkan keadaan COVID-19 semasa, komunikasi maya (komunikasi virtual) lebih penting sekarang daripada sebelumnya.
Dalam pembelajaran dalam talian dan jarak jauh, pelajar sangat bergantung pada kemahiran berkomunikasi secara maya untuk berkomunikasi dengan rakan sekelas dan pensyarah mereka.
Pesanan pantas dan ringkas (seperti WhatsApp, Telegram), persidangan video (seperti ZOOM, Google Meet, WebEx), media sosial (seperti Facebook, Twitter, Instagram) adalah beberapa alat yang paling terkenal untuk berkomunikasi secara maya.
Para graduan masa depan juga mesti sedar bahawa mereka harus bertanggungjawab dalam mengembangkan kemahiran berkomunikasi melalui perkakasan ini.
Maka, adalah penting bagi institusi pendidikan tinggi untuk menumpukan pada kemahiran berkomunikasi secara maya untuk menyediakan bakal graduan ini ke pasaran pekerjaan.
Kemahiran berkomunikasi mempunyai kedudukan yang dominan di pasaran pekerjaan, dan sering menjadi faktor penentu ketika proses pengambilan pekerja oleh majikan.
Dengan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh, para graduan masa depan diharap dapat mengembangkan kemahiran berkomunikasi maya ini untuk memenuhi permintaan majikan dalam pekerjaan masa depan mereka.
Kemahiran berkomunikasi maya ini akan dapat mempersiapkan mereka untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Kemahiran berkomunikasi yang berkesan, sama ada maya atau fizikal adalah penting pada bila-bila masa, tetapi semasa COVID-19, ia adalah sangat penting. – DagangNews.com
Mohd Zailani Othman adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka