BAGS Ground Services, Dakota Diversified bekerjasama bangunkan inisiatif hidrogen di Thailand | DagangNews Skip to main content

BAGS Ground Services, Dakota Diversified bekerjasama bangunkan inisiatif hidrogen di Thailand

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - BAGS Ground Services Co. Ltd dan Dakota Diversified Group of Companies memetrai perjanjian kerjasama untuk membangunkan infrastruktur hidrogen, lapangan terbang hijau hidrogen, komoditi komersial hidrogen, loji tenaga hidrogen dan penyimpanan tenaga hidrogen di Thailand.

 

BAGS Ground Services merupakan perintis perkhidmatan darat, penyewaan dan pemajakan peralatan perkhidmatan darat (GSE) serta unit kuasa darat (GPU) di Thailand dengan syarikat sekutudi beberapa negara seperti Myanmar, India, Kemboja, Laos, Filipina, dan berpotensi untuk berkembang ke Indonesia.

 

Syarikat itu percaya  bahawa peluang di rantau Asia Tenggara itu hadir terutama selepas semua negara mula membuka sempadan antarabangsa mereka kepada luar dan syarikat itu bersedia untuk meneroka peluang dalam perkhidmatan GSE dan GPU.

 

Pengarah Urusan BAGS, Boonsom Phuongkaew berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjsama dengan Dakota Diversified untuk membawa inisiatif hidrogen ke Thailand dan negara-negara lain. 

 

"Kami melihat terdapat keperluan untuk perkara membawa inisiatif itu ke Thailand terutama konsep lapangan terbang hijau hidrogen dengan bas hidrogen untuk membawa orang ramai ke lapangan terbang. Kami percaya dengan inisiatif hijau 100%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dakota Diversified merupakan syarikat dari Malaysia yang mempunyai pelbagai pengalaman kerjasama di rantau ini dan mereka merupakan pemegang paten untuk Electrolysis yang membantu meningkatkan nisbah kecekapan tenaga berbanding pesaing lain di pasaran. 

 

bags

 

Pengarah Urusan Dakota Diversified, KY Chan berkata, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan BAGS untuk projek hidrogen itu dan berharap dapat mengatur strategi terbaik menggunakan paten mereka untuk membawa hidrogen hijau bagi meraih kelebihan pelaburan serta dana daripada kredit amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) dan karbon.

 

"Kami juga berharap dapat mengembangkan inisitif ini ke Taiwan, negara-negara Asia Tenggara dan India kerana ia merupakan perkara penting kerana dunia sedang mengalami kenaikan harga tenaga ketika ini.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi Jerman kami pada Q3/Q4 2022 untuk infrastruktur hidrogen bersama-sama dengan Pakej Pembiayaan Eropah untuk Thailand dan Taiwan. 

 

"Kami meramalkan peluang perniagaan hidrogen sebanyak AS$200 juta (RM875.8 juta) di Thailand, AS$300 juta (RM1.3 bilion) di Taiwan, AS$500 juta (RM2.18 bilion) di Indonesia untuk dua hingga tiga tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com