JOHOR BAHRU 23 Nov – Sebagai rakan strategik kerajaan negeri, Iskandar Investment Berhad (IIB) berhasrat untuk terus menyokong kerajaan Johor serta memperkasa ekosistem lestari bagi perniagaan, pelabur dan komuniti di negeri ini untuk tahun 2022 dan seterusnya.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, Agenda Johor Digital adalah satu daripada strategi utama untuk membangunkan sosio-ekonomi rakyat dengan sejumlah RM21.5 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini di dalam Bajet 2022 Johor.
Katanya, IIB menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan bagi meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab utama pembangunan teknologi dron dan robot, inovasi, pembangunan bakat serta teknologi digital seperti digariskan di dalam Bajet 2022 negeri Johor.
``Kami menyambut baik peruntukan sejumlah RM2.3 juta untuk Young Drone Pilot Programme menyasarkan 10,000 peserta.
``Peruntukan ini akan terus memacu pembangunan hab digital dan bakat di Iskandar Puteri serta menarik pelaburan berimpak tinggi serta bakat berkemahiran tinggi ke Johor,’’ kata beliau.
Menteri Besar Johor, Ir Hasni Mohammad membentangkan belanjawan bertema Memperhebat Kesejahteraan Johor, pada 18 November lalu, yang memperuntukkan RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di negeri itu.
Khairil Anwar berkata, dalam usaha untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem teknologi berasaskan IR4.0 dan menyokong Wawasan 2030 Johor, IIB turut melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) pada Oktober 2020.
Inisiatif ini membawa ekonomi digital, perniagaan dan bakat baru ke Iskandar Malaysia. Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu untuk menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna bagi memastikan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia dapat direncanakan dengan strategik.
``Kami turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang bakal disalurkan melalui insentif Digital Johor Startup Grant untuk syarikat baru bakal beroperasi di Medini Iskandar Malaysia,’’ ujarnya.
Sehingga 100 syarikat disasarkan untuk menerima geran ini dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menjadi pemacu perlaksanaan program komuniti di Common Ground Iskandar Space (CGIS) mulai Januari 2022 - ruang kerja bersama pertama di Johor.
CGIS, yang menjurus ke arah membina komuniti “digitech”, menyediakan landasan untuk syarikat permulaan digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pinggir bandar Medini.
Pembangunan Modal Insan
Modal insan merupakan pemangkin utama merancakkan semula pembangunan negeri Johor. Bagi tahun 2022, peruntukan sebanyak RM5.2 juta disediakan untuk melaksanakan inisiatif lpeningkatan kemahiran seperti Program Johor Upskilling & Reskilling, Latihan Lepasan Siswazah Johor, Johor Skills Oil & Gas dan Pensijilan Tenaga Mahir Johor yang memberi manfaat kepada 1,550 peserta.
IIB mengalu-alukan peruntukan kerajaan negeri Johor untuk inisiatif pembangunan bakat serta teknologi digital di Johor melalui Belanjawan Johor 2022.
Agenda Pembangunan Modal Insan di Iskandar Malaysia diteruskan dengan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sebanyak RM4 juta dilaksanakan mengikut konsep keperluan tenaga kerja industri sektor ekonomi utama.
Pada Ogos 2021 lepas, Johor Digital and Emerging Technology Talent Programme (JDETT) dilancarkan bagi mengembang, memupuk dan melahirkan bakat menyokong sektor teknologi di wilayah Iskandar Puteri.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui kerjasama kerajaan negeri Johor dan Persekutuan, selain disokong oleh industri, bakat, latihan, dan rakan pembiayaan.
Selain itu, inisiatif pembangunan modal insan oleh IIB iaitu Perantis Iskandar telah diwujudkan untuk mendidik dan membangunkan bakat teknikal di EduCity.
Program tersebut menyokong skim PENJANA kerajaan – satu usaha untuk menangani pengangguran disebabkan pandemik COVID-19. Sejak 2006, kami telah mewujudkan sebanyak 10,000 pekerjaan di lima sektor promosi – industri kreatif, perkhidmatan pendidikan, perkhidmatan kewangan dan perniagaan, penjagaan kesihatan dan pelancongan, di Iskandar Puteri.
Mempertingkatkan Jaminan Bekalan Makanan Johor
Melalui Belanjawan 2022, Kerajaan Negeri beriltizam untuk menjadikan Johor HUB makanan untuk pasaran domestik, pasaran serantau dan antarabangsa dengan peruntukan sebanyak RM18.9 juta merangkumi 32 projek.
Jaminan keselamatan bekalan makanan negara perlu kekal sebagai agenda utama negara. Walaupun IIB tidak terlibat secara langsung dalam inisiatif ini, kami berkongsi aspirasi dengan kerajaan negeri untuk menyokong agenda keselamatan makanan melalui inisiatif Pertanian Pintar.
Peluang sedang diteroka bersama rakan strategik dan pemain industri pertanian moden bagi usaha sama pertanian pintar yang melibatkan pasaran eksport sumber organik dan sokongan program keselamatan makanan kerajaan Malaysia.
Ekonomi Hijau
Kerajaan Negeri akan merangka Roadmap ekonomi hijau “Johor Green Deal” pada tahun hadapan. Ia merupakan suatu pelan menyeluruh bagi pertumbuhan ekonomi hijau negeri yang akan dapat membolehkan pengenalan insentif dan faedah untuk pelaburan yang berasaskan Persekitaran, Sosial dan Urus Tadbir (ESG).
Salah satu inisiatif di bawah pelan ini adalah Kelestarian Alam Sekitar. Kerajaan Negeri akan memperkasa usaha untuk memelihara daya hidup sungai-sungai di Johor. Sejumlah RM4.5 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan kelestarian sungai-sungai di Johor.
Sebagai pemaju strategik, IIB memberikan tumpuan kepada pertumbuhan holistik, menyeimbangkan kemakmuran ekonomi, kualiti kehidupan dan kelestarian alam sekitar.
Di antara inisiatif yang dilaksanakan oleh IIB termasuk pemeliharaan hutan pokok bakau, aktiviti menanam pokok buah-buahan dan sayuran di Edible Park, Medini dan pembersihan pantai di perairan Johor yang melibatkan kerjasama semua pihak berkaitan.
Sebagai warga korporat prihatin, IIB fokus dalam memacu pertumbuhan ekonomi bagi memanfaatkan komuniti tempatan, rakan perniagaan, para pelabur dan kakitangan syarikat melalui kerjasama dengan semua pihak yang terlibat.
Secara keseluruhan, kesemua inisiatif dan agenda yang digariskan berpotensi memulih dan memperkasa semula sektor ekonomi Johor secara holistik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri Johor. IIB akan terus komited untuk menjadi peneraju dalam mencapai aspirasi Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri dan rakyat Johor. – DagangNews.com