Bajet 2022 kesinambungan konsep Prihatin Rakyat - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 kesinambungan konsep Prihatin Rakyat - Muhyiddin

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan semalam oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesinambungan itu dapat dilihat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan sama ada individu mahu pun perniagaan dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

 

Beliau yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan

 

“Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

“Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM332.1 bilion dengan RM233.5 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

 

Muhyiddin berkata, Bajet 2022 juga akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang.

 

Ia merupakan cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

 

Beliau berkata, peruntukan kedua terbesar kepada Kementerian Kesihatan adalah amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik selain dapat memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

 

Muhyiddin berkata, peruntukan terbesar iaitu RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama murid luar bandar.

 

“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

 

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan dengan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelas beliau.-DagangNews.com