Bajet 2023: Cukai efektif minimum diperkenalkan bagi Malaysia tarik pelaburan asing | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Cukai efektif minimum diperkenalkan bagi Malaysia tarik pelaburan asing

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan akan memperkenalkan kadar cukai efektif minimum di peringkat global bagi membolehkan Malaysia meluaskan asas cukai dan menarik pelaburan langsung asing.

 

Langkah itu diumumkan dalam Bajet 2023 sejajar dengan saranan di bawah Pillar 2 Pelan Tindakan Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 1.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan Qualified Domestic Minimum Top-up Tax setelah kajian lanjut dibuat dan disasarkan pada 2024.

 

Dalam Bajet 2023, bagi menggalakkan lebih ramai pelabur mangkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui pendanaan modal dalam syarikat penerima pelaburan, galakan cukai akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

 

"Kerajaan juga bercadang melanjutkan galakan cukai bagi pembangunan harta intelek sehingga 31 Disember 2025," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini..

 

Kerajaan bercadang melanjutkan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima sehingga hujung 2024.

 

Di samping itu, insentif itu akan ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun dinaikkan daripada 70 peratus kepada 100 peratus.

 

Dalam Bajet 2023, kerajaan tetap memastikan sumber hasil yang mampan bagi membiayai perbelanjaan negara.

 

Bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, kerajaan sedang melaksanakan dua inisiatif iaitu pertama, e-Invois akan dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) secara berperingkat mulai 2023 dengan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai terpilih.

 

Kedua, ialah Nombor Pengenalan Cukai (TIN) telah dilaksanakan bagi memperluas asas cukai.

 

Mulai 2023, individu warga negara dan pemastautin tetap yang mencapai umur 18 tahun akan diberikan TIN secara automatik dan penggunaan TIN diwajibkan bagi semua penyeteman dokumen dan surat cara. - DagangNews.com