Bajet 2023 : GLC, GLIC komited melabur RM50 bilion | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : GLC, GLIC komited melabur RM50 bilion

KUALA LUMPUR 7 Okt - Syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) akan terus memainkan peranan sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan komited untuk membuat pelaburan sehingga RM50 bilion pada 2023.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antaranya termasuklah melabur dalam modal teroka bagi menyokong syarikat pemula dan usahawan sehingga RM1.3 bilion dan menumpukan kepada projek-projek sekuriti makanan sebanyak RM1.35 bilion.

 

Katanya, ia juga bagi mendorong agenda kelestarian dengan pelancaran sustainability framework serta menetapkan sasaran untuk mencapai portfolio fully ESG-compliant dan operasi karbon neutral

 

"Selain itu, pelaburan ini termasuklah membuat perolehan hijau sehingga RM330 juta di samping menyediakan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan membuat pelaburan langsung domestik sehingga RM45 bilion," katanya ketika membentangkan Bajet  2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menegaskan pelaburan langsung domestik daripada GLC sememangnya penting dalam pemulihan ekonomi. 

 

Antaranya, menurutnya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan melebihi RM3 bilion sehingga 2025. 

 

"Selain itu, PNB juga melalui projek Menara Merdeka 118 akan membawa nilai pembangunan kasar melebihi RM10 bilion dan mewujudkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.

 

Bagi 2023, katanya, Khazanah Nasional Bhd. akan melabur sebanyak RM1 bilion di bawah Dana Impak antaranya RM230 juta dikhaskan untuk pelaburan dalam syarikat berteknologi tinggi milik tempatan," jelasnya.

 

Dana tersebut, akan menyokong lebih banyak anak tempatan untuk menuai pengalaman bekerja dengan syarikat multinasional dengan menubuhkan syarikat berteknologi milik sendiri, seperti SkyeChip. 

 

"Bagi menggalakkan syarikat seumpama ini untuk menjana paten sendiri, kerajaan juga bercadang melanjutkan galakan cukai bagi pembangunan harta intelek sehingga 31 Disember 2025.

 

"Bagi menggalakkan lebih ramai pelabur mangkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui pendanaan modal dalam syarikat penerima pelaburan, galakan cukai akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026," jelasnya.

 

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan telah melancarkan garis panduan Prinsip Tadbir Urus Baik untuk diterima pakai oleh semua GLIC dan akan diperluas kepada semua GLC. 

 

"Selanjutnya, satu piawaian pelaburan bakal dilancarkan bagi memastikan agenda kemampanan dipertimbangkan dalam proses pelaburan GLIC," tambahnya. - DagangNews.com