Bajet 2023: Hiredly cadang tiga harapan tingkatkan taraf hidup rakyat | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Hiredly cadang tiga harapan tingkatkan taraf hidup rakyat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Platform pekerjaan, Hiredly mencadangkan tiga harapan bagi Bajet 2023 yang memerlukan perhatian daripada kerajaan untuk menangani beberapa isu terutamanya melibatkan tahap penggajian yang menjadi kebimbangan rakyat.

 

Pengasas dan CEO Hiredly, Derek Toh berkata, cadangan itu melibatkan penekanan langkah untuk memperbaiki kebolehgajian siswazah menerusi peruntukan geran dan latihan kemahiran-kemahiran insani (soft skills). 

 

"Langkah ini akan membantu meningkatkan kebolehgajian siswazah, kerana kami percaya kadar penggajian siswazah masih belum pulih sepenuhnya sejak pandemik bermula pada 2020. 

 

"Walaupun kadar pengangguran menurun kepada 4.1% pada 2021 daripada 4.4% pada 2020, ia masih lagi berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding 2019. Sebelum pandemik bermula, kadar pengangguran Malaysia hanya 3.9%.

 

"Ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan mereka akibat pandemik dan ketika kita memasuki fasa pemulihan, kadar kebolehgajian meningkat dengan ketara, namun ramai orang masih lagi berdepan kesukaran untuk menyara hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, pada masa sama, Malaysia menerima RM123.3 bilion pelaburan yang diluluskan ke dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor-sektor utama pada separuh pertama tahun ini, termasuk 1,714 projek. 

 

"Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 70.9% daripada pelaburan yang dibenarkan, berjumlah RM87.4 bilion. 

 

"Kami berharap agar kerajaan meneruskan momentum FDI ini bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk membantu menaik taraf mereka yang berada dalam golongan B40 kepada kumpulan M40. Langkah ini tentu sekali akan membantu dan memperbaiki taraf hidup rakyat," katanya.

 

Selain itu katanya, perkembangan rancak ekosistem syarikat-syarikat permulaan juga menjadi satu trend yang lazim di rantau Asia Tenggara. 

 

Tambahnya, Malaysia juga berhasrat untuk melahirkan lima buah 'unicorn' menjelang 2030, seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital. 

 

"Justeru, saya percaya Bajet 2023 perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan ke dalam syarikat-syarikat permulaan, yang akan menjurus kepada pembentukan lebih banyak unicorn. 

 

"Langkah ini kelak akan menjadi pencetus kepada pewujudan lebih banyak pekerjaan digital dan pekerjaan berkemahiran tinggi. Penyertaan lebih ramai orang ke dalam pasaran buruh pasti akan mengangkat ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. - DagangNews.com