KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan akan menambahbaik program SemarakNiaga 2023 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan pada 2022 merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pada tahun hadapan, sebanyak RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat
peniaga kecil.
Katanya, antaranya termasuklah pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana sebanyak RM950 juta termasuk RM350 juta untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga bumiputera.
"Selain itu, kerajaan juga menyediakan skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah Tekun Nasional khusus untuk bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan RM300 juta.
"Kemudahan pinjaman perniagaan juga disediakan khusus kepada kaum Cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah 4%," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disediakan dana berjumlah RM25 juta.
Selain itu, katanya, sebanyak RM100 juta ringgit juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum India.
"Sebanyak RM10 juta juga disediakan di bawah program kewangan sosial iTEKAD dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai," jelasnya.
Tengku Zafrul berkata, selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.
Melalui Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk
menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.
"Kepada usahawan bumiputera, kerajaan melalui Teraju dengan dana RM135 juta akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera.
"Sebanyak RM200 juta ringgit juga disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan untuk bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan," katanya. - DagangNews.com