Bajet 2023: RM95 bilion bagi perbelanjaan pembangunan negara - peruntukan terbesar sejak 2021 | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: RM95 bilion bagi perbelanjaan pembangunan negara - peruntukan terbesar sejak 2021

KUALA LUMPUR 7 Okt - Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM95 bilion, meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan RM64 bilion pada 2021.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan yang besar ini adalah bagi menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang di antara wilayah walaupun berhadapan dengan kekangan fiskal.

 

Sebanyak RM16.5 bilion akan disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link dan Central Spine Road.

 

"Jajaran Pan Borneo di Sarawak juga dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat di negeri itu manakala Pan Borneo Sabah pula bakal siap menjelang 2024," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.

 

Projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 membabitkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral juga sudah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023.

 

Bagi projek MRT3 pula, ia adalah komitmen kerajaan bagi melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer.

 

MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada 2028 manakala Fasa 2 pada 2030 membabitkan kos sebanyak RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan 2023 sebanyak RM3.3 bilion. - DagangNews.com