Bajet 2023: Securelytics harap kerajaan tumpu pembangunan keselamatan siber | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Securelytics harap kerajaan tumpu pembangunan keselamatan siber

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Menjelang pembentangan Bajet 2023 esok, firma perunding dan penyedia perkhidmatan berkaitan keselamatan siber, Securelytics Sdn Bhd berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif atau dana khas bagi menyokong dan memperkasakan keselamatan siber negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Securelytics Sdn Bhd, Muzamir Mohamad berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus dalam bidang berkaitan keselamatan siber memandangkan kes-kes berkaitan kebocoran data dan jenayah siber semakin berleluasa.

 

"Saya menaruh harapan tinggi dalam Bajet 2023 bagi peruntukan dana khas yang untuk menyokong dan meningkatkan kesedaran syarikat tempatan terutamanaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap keselamatan siber.

 

"Selain itu kami juga berharap kerajaan dapat memberi insentif atau pelepasan cukai kepada mana-mana syarikat yang mendapatkan pensijilan atau langganan bagi produk-produk perisisan keselamatan siber. 

 

"Ini adalah untuk memastikan keselamatan dan keselamatan sistem teknologi, sistem perbankan dan data peribadi pengguna di Malaysia dapat dilindungi dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Muzamir, beberapa insiden kebocoran pelanggaran data dan jenayah siber telah dilaporkan di Malaysia sekaligus memperlihatkan kepentingan terhadap isu-isu keselamatan siber semakin meningkat.

 

Untuk rekod, sepanjang tahun 2021, kejadian jenayah siber di Malaysia telah menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM560 juta.

 

 

secure
Muzamir Mohamad

 

 

bajet

 

Menurut Muzamir lagi, keselamatan siber yang teguh juga penting ketika Malaysia bergerak ke arah Revolusi Perindustrian (IR4.0) kerana negara akan bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu keselamatan akan memberi kesan kepada kerajaan serta ekonomi, sosial dan masyarakat.

 

Jelasnya, keperluan bagi keselamatan siber kini menjadi amat penting selepas beberapa siri pencerobohan data dan jenayah siber dilaporkan di negara ini. - DagangNews.com